3 Amalan Yang Berkat


Hadith :
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :”Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.”

(Bukhari)



Huraian
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).

Alamat Mimpi


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain.”

(Muslim)



Huraian
Setiap daripada kita pernah mengalami mimpi. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambuatan perayaan Idul Adha. Nabi Ibrahim a.s bermimpi, lalu baginda menceritakan hal mimpinya itu kepada anaknya, Ismail, "Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu. Bagaimana pendapatmu?" (as-Shaffat: 102). Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas. Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Diceritakan bahawa pada suatu hari nabi Yusuf mengkhabarkan kepada bapanya nabi Ya'qub,"Wahai bapaku, aku melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadaku." (Yusuf: 4). Ternyata mimpi ini membawa petanda baik bahawa nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang berkuasa dan bijak. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya.

Kebinasaan Berlaku Tidak Mengira Sesiapa Masa Dan Tempat


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Bakal ada tentera yang akan menyerang Ka’abah, tetapi ketika mereka sampai disuatu tempat lapang, tiba-tiba ia dibinasakan semuanya , baik yang pertama hingga yang terakhir.’Aisyah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana dibinasakan semuanya, padahal disitu ada orang-orang yang tidak ikut serta, iaitu orang yang sedang dipasar dan lain-lainnya? Jawab Nabi di binasakan semua, kemudian dibangkitkan menurut niat masing-masing”.

Riwayat Bukhari Muslim



Huraian
Kebinasaan yang menimpa pada suatu daerah akan mengenai yang bersalah dan yang tidak bersalah, orang yang baik dan orang yang tidak baik, ia akan mengenai semuanya apabila kecelakaan itu berlaku.
Di suatu zaman, akan berlaku penyerangan atau pertempuran diantara golongan atau puak ditempat yang disasarkan, yang melibatkan ramai terkorban. Dan ramai yang telah cedera akibat pertempuran itu.
Perhitungan atau balasan diakhirat kelak hanya terhadap mereka yang bersalah. Bagi semua pejuang akan menerima perhitungan menurut niatnya. yang baik akan menerima balasan yang baik manakala pejuangan yang jahat akan menerima balasan kejahatannya diakhirat kelak.

Bekas Ahli Neraka


Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:” Keluar satu kaum dari neraka sedangkan kulit mereka telah hitam kerananya. Mereka masuk ke dalam syurga, sedangkan isi syurga menamakan mereka ‘orang-orang dari jahannam’. “

(al-Bukhari)



Huraian
Pernahkah kita membayangkan tentang neraka? Tentang kegelapan neraka yang sangat pekat? Rasulullah bersabda : “Api neraka dinyalakan seribu tahun hingga memerah, kemudian dinyalakan lagi seribu tahun hingga memutih dan dinyalakan lagi seribu tahun hingga berwarna hitam. Dan jadilah neraka itu gelap pekat.” Pernahkah pula kita membayangkan tentang minuman ahli neraka? Allah berfirman “..dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumkannya air nanah tersebut..” (Ibrahim: 16) Rasulullah bersabda : “Ketika didekatkan ke mulutnya maka mulutnya terbakar dan kulit kepalanya menggelupas. Dan ketika dia meminumnya, maka terputuslah ususnya sehingga minumannya keluar dari duburnya”. Kenyataannya peringatan tentang neraka yang menyala-nyala adalah supaya hati kita dapat disedarkan kerana tidak ada yang akan masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka, yang mendustakan kebenaran dan berpaling dari iman.

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”.

Riwayat Abu Daud



Huraian
1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Hati Yang Selalu Muda


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda.”

(Muslim)



Huraian
Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, ’rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih juga bergelumang dengan dosa. Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati. Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.”

Jihad Perjuangan Paling Utama


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah orang yang paling utama?. Jawab Baginda saw, Iaitu orang mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri pada jalan Allah, lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapa lagi?, “Baginda saw. Menjawab yang mengasingkan dirinya dilereng lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhannya. Dalam satu riwayat yang lain, iaitu orang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan dirinya) daripada orang yang melakukan kejahatan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Sebenar benar jihad ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya untuk bertaqwa kepada Allah S.W.T. serta membelanjakan hartanya kejalan yang diredhai.
2. Islam menuntut umatnya menyeru kearah kebaikan dan menentang kemungkaran. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berperingkat seperti yang dilakukan oleh syarak.
3. Jihad dalam erti kata yang luas ialah kita dikehendaki sama-sama memperjuang dan memperlengkapkan diri bagi mencapai hasrat untuk kemajuan agama bangsa dan negara serta mempertahankannya dari sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahupun dari luar.

Batas-batas Dalam Berhias


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”


Riwayat Ibnu Mas’ud



Huraian
i) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.
ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.
iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.
iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.
v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.

Menghukum Dengan Adil


Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda:”Jika diberikan kepada manusia apa sahaja yang didakwa oleh mereka tentunya akan mendakwa beberapa orang lelaki akan harta suatu kaum dan darah mereka tetapi (dalam hal ini diperlukan) saksi atas orang yang mendakwa dan sumpah atas (orang) yang engkar (yang terdakwa).”

(al-Baihaqi)



Huraian
1. Dalam konteks penghakiman atau pengadilan, seorang hakim adalah dikehendaki memutuskan sesuatu perkara dengan adil berdasarkan keterangan yang diberikan kepadanya. Hal ini disebabkan manusia itu lazimnya suka menurut dakwaan dan pengaduan mereka sendiri demi mendapatkan harta atau menuntut bela (di atas sesuatu kejadian seperti pembunuhan).
2. Oleh itu dakwaan atau sebarang aduan tidak boleh didengar atau diterima begitu sahaja tanpa ditunjukkan bukti yang sah menurut hukum dan kerana itu juga Rasulullah S.A.W menghendaki agar dikemukakan saksi oleh orang yang mendakwa dan sumpah atas orang yang terdakwa.
3. Sebab dikehendaki saksi atas orang yang mendakwa ialah kerana ia menuntut suatu yang berlainan dengan kenyataan. Maka disebabkan itu mestilah ia mempunyai cukup bukti untuk dakwaan yang dibuat.
4. Manakala orang yang engkar iaitu orang yang terdakwa dikehendaki pula melakukan sumpah untuk membuktikan keadaannya bahawa ia terlepas dari dakwaan itu. Sumpah ini dinamakan sumpah sabar iaitu sumpah yang menahan orang yang berhak dari kehilangan haknya seandainya hak itu adalah haknya yang sebenar. Tetapi jika seseorang itu bersumpah untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya maka sumpahnya adalah sumpah dusta.
5. Punca sengketa yang sering terjadi dalam masyarakat adalah dari harta benda hingga membawa kepada pembunuhan dan pertumpahan darah. Semua ini bermaksud untuk memperolehi dan menguasai harta benda sebanyak mungkin biarpun dengan cara yang kotor dan keji. Oleh itu Islam menyuruh agar berhukum dengan adil.

Mati Kerana Lemas


Hadith :
Adiy bin Abi Hatim r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila haiwan yang engkau panah jatuh di dalam air lalu tenggelam dan mati maka janganlah engkau memakannya.”

(HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)



Huraian
Binatang-binatang yang hendak dimakan hendaklah dipastikan halal termasuk cara ia dimatikan sama ada mati disembelih atau mati dipanah bukan mati kerana tertindih, dilanggar dan sebagainya. Hal ini kerana pada hari ini terdapat banyak keraguan dalam bab penyembelihan binatang. Contohnya ada ayam yang telah disembelih tetapi mati buka kerana sembelih tetapi kerana tertindih di dalam tong berisis ayam-ayam lain yang disembelih. Mati kerana ditindih atau lemas disahkan tidak halal sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas.

Manusia Tidak Lepas Bebas Daripadanya!

Hadith :
Dari Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w, dia menceritakan bahawa pada suatu malam rasulullah s.a.w pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah:’Kerana itu aku cemburu kepada beliau. Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya:”Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?” jawabku:”Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda? Tanya baginda:”Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab Aisyah:”Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab baginda :”Ya!” Aku bertanya:”Aku sendiri juga?” Jawab baginda:”Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat.”

(Muslim)



Huraian
Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. Hadith di atas menerangkan bahawa setinggi mana pun ilmu dan sebanyak mana pun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. Oleh itu Rasulullah s.a.w menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Siapa Tahu Nilaian Allah


Hadith :
Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya:”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata:”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.”

(Muslim)



Huraian
Memang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang baik akan mendapat pujian dan ganjaran yang besar. Islam tidak menafikan akan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya terlalu memandang tinggi akan kebaikan seseorang apatah lagi dengan memuji secara berlebih-lebihan. Di samping itu Islam juga melarang kita daripada memandang remeh akan amalan yang kecil (kurang publisiti) yang dilakukan oleh seseorang kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu sebenarnya mempunyai pahala dan kedudukan yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah S.W.T. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit. Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (Muslim). Dalam setiap perbuatan manusia, niat sebenarnya memainkan peranan yang paling utama dan Allah S.W.T sahaja yang tahu akan niat seseorang. Namun begitu, sebagai orang yang beriman kita seharusnya membetulkan niat sebelum melakukan sesuatu. Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dan cemerlang di mata manusia itu bermakna bahawa kita juga adalah baik dan cemerlang di sisi Allah S.W.T.

Doakan Yang Baik-baik


Hadith :
Dikhabarkan dari Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat hujan, baginda berkata:”Semoga hujan yang bermanfaat.”

(al-Bukhari)



Huraian
Setiap perkataan yang keluar daripada mulut anak Adam adalah datang daripada niat dalam hatinya. Orang yang suka mengeluarkan kata-kata yang baik mencerminkan keikhlasan hatinya dan kebaikan hati budinya. Manakala orang yang suka bercakap perkara-perkara yang buruk kebiasaannya berperangai tidak elok. Itulah persepsi biasa dalam masyarakat. Begitulah keadaannya bilamana kita inginkan sesuatu kebaikan janganlah kita berkata perkara-perkara yang berbentuk negatif kerana ia seumpama doa yang dipohon secara tidak langsung kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mendengar segala percakapan hamba-Nya. Justeru apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang buruk itu datangnya daripada kesilapan kita sendiri.

Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah


Hadith :
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”

Riwayat Muslim



Huraian
1. Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini.
2. Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
3. Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
4. Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.

Pengertian Kebajikan Dan Dosa


Hadith :
Dari Nawwas bin Sam’an al-Anshari r.a katanya.”Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda:”Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan sekiranya perbuatanmu itu diketahui oleh orang lain.”

(Muslim)



Huraian
1. Kebajikan adalah nilai luhur dari kehidupan sedangkan dosa bagaikan titik hitam yang merosakkan pandangan. Namun kadangkala disebabkan nafsu, iman menjadi buta sehingga seseorang itu cinta kepada dosa dan menganggap bahawa segala sesuatu itu adalah wajar belaka.

2. Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa dari memohon keampunan daripada Allah SWT, biar betapa besar pun dosa yang telah dilakukan itu. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang maksudnya:” "Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (dari kesalahan tersebut)."

3. Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya menanggung dosa, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati sedangkan mati itu tidak mengenal ketika dan usia seseorang. Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa beristighfar dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah serta malu untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang sehingga mencemarkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Kesaksian malaikat


Hadith :
Abu Hurairah r.a mengkhabarkan bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Solat berjamaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak dua puluh lima kali ganda. Para malaikat malam dan para malaikat siang berkumpul bersama ketika solat fajar. Kemudian Abu Hurairah berkata:”Jika kamu suka, bacalah ayat al-Quran sesungguhnya bacaan waktu fajar disaksikan oleh para malaikat.”

(al-Bukhari)



Huraian
Ibadah yang dilakukan bertepatan dengan kehendak syarak akan mendapat pahala yang dijanjikan. Sementelah pula jika ia dibuat pada waktu-waktu sunat maka akan bergandalah balasannya. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyatakan bahawa setiap manusia hendaklah berlumba-lumba melakukan kebaikan selama hidupnya kerana tiada siapa yang tahu bilakah akhir usianya. Oleh itu janganlah kita melalaikan waktu-waktu terluang begitu sahaja kerana setiap saat seorang Muslim itu adalah terlalu amat berharga.

Tidak disengajakan


Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:”Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksakan mereka atasnya.”

(Ibnu Majah dan al-Baihaqi)



Huraian
1. Perbuatan manusia adakalanya disertai dengan niat dan ikhtiar dan ada pula yang berlaku dengan sebab tersalah (tidak sengaja), terlupa atau dipaksa.
2. Ketiga-tiga perkara tersebut tidak dihukumkan sebagai satu kesalahan sebagaimana yang disebut dalam hadith kerana ia berlaku bukan di atas niat dan kerelaan oleh orang yang melakukannya dan oleh itu hukumannya berbeza dengan orang yang melakukannya dengan niat (disengajakan).
3. Sesungguhnya tiap-tiap perbuatan yang dihukum tidak sahaja dilihat kepada zahirnya tetapi ditinjau juga sampai ke dalam hati orang yang melakukannya. Ini memberi erti bahawa Islam mengambil berat terhadap kesedaran hati manusia dalam melaksanakan sesuatu perbuatan yang dikehendakinya kerana kesedaran itu menjadi bukti tanggungjawab seseorang atas perbuatannya di mana salah atau tidak perbuatan itu adalah dalam pengetahuannya dan dialah yang menanggung akibat atau dosanya kelak.

Perihal Syaitan


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku pada hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman): "Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah Halal; dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar…."

'Iyadh bin Himar Al-Mujasyi'I r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Syaitan adalah musuh utama manusia sejak nabi Adam a.s lagi. Tabiatnya suka menghasut, membuat fitnah, memecahbelahkan manusia dengan mengajak melakukan segala bentuk kemungkaran.
ii) Syaitan akan mengambil peluang menghasut apabila sahaja seseorang manusia itu lalai iaitu tidak mengendahkan ajaran dan peringatan Allah S.W.T, di mana sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan pasti akan menemui jalan kebinasaan dan penyesalan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Petua Dimurahkan Rezeki Dan Dipanjangkan Umur


Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).”

(Bukhari)



Huraian
Silaturrahim berasal daripada bahasa Arab yang bererti menghubungkan ikatan kasih sayang. Silaturrahim merupakan suatu ikatan yang suci yang menuntut kita sebagai umat Islam sentiasa menjaganya malah seseorang itu tidak dikatakan beriman selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri. Masakan manusia boleh hidup keseorangan. tanpa bergantung harap dan menerima kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu jalinan silaturrahim adalah amat penting bagi sesebuah ummah itu hidup lebih cemerlang dan berjaya kerana ukhuwwah yang dipupuk di atas rasa cinta dan kasih kerana Allah pasti akan memberikan kekuatan pada jiwa mana-mana individu.

Sempurnakan Hari Dengan Keberkatan


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

Abu Hurairah r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan diberkati oleh Allah S.W.T.
Ii) Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding pada bulan-bulan yang lain.
Iii) Umat Islam diseru agar tidak mensia-siakan keberkatan di bulan ini ,malah sewajarnya merebut peluang yang ada dengan menambahkan lagi ibadat dan amal kebajikan.
iv) Bersempena dengan kemuliaan bulan ini juga umat Islam ditegah daripada mendekati perkara yang dilarang dan mungkar kerana pada bulan ini rahmat dan kasih sayang Allah amat luas sehingga orang-orang yang telah dijanjikan neraka sekalipun akan dibebaskan oleh Allah dengan berkat kebaikan yang dilakukannya.

Golongan Yang Tidak Dipandang Allah s.w.t


Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”.


Riwayat Muslim



Huraian
1. Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia, iaitu orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong.
2. Segala perbuatan yang dilarang oleh agama hendaklah dijauhi dan seandainya seseorang itu terjerumus ke lembah dosa dan noda maka hendaklah dia segera bertaubat agar dosanya diampunkan oleh Allah.
3. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk membanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Rahmat Atau Laknat


Hadith :
Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a katanya, dia mendengar Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita:”Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah saw sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah:”Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa.” Jawab baginda,:”Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat.”

(Muslim)



Huraian
Allah SWT menyuruh kita hamba-hambanya agar sentiasa melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.Maka selaku manusia yang ditugaskan menjadi khalifah Allah, wajib ke atas kita menjalankan perintah Allah itu tanpa rasa malas, angkuh dan sombong atau dengan lain perkataan menderhakai Allah dengan melakukan berbagai kemaksiatan di muka bumi ini. Sesungguhnya apabila kemurkaan Allah menjelma akibatnya amat dahsyat sekali sebagaimana yang telah berlaku pada kaum ‘Add yang hanyut dengan seribu satu kemaksiatan hingga pada suatu ketika telah datang kepada mereka awan mendung dan mereka berkata:”Inilah awan-awan yang akan menurunkan hujan bagi kita...” Namun ternyata bahawa hal yang sebaliknya berlaku di mana kebaikan yang mereka sangkakan akan mendatangi mereka sebenarnya adalah satu bala (malapetaka) yang diturunkan Allah akibat dari kejahatan yang mereka lakukan. Mengingatkan hal inilah, Rasulullah saw. akan merasa resah gelisah setiap kali awan mendung berarak, memikirkan sama ada ia merupakan satu rahmat atau satu laknat daripada Allah SWT. Oleh itu sebagai umat Islam, kita ini hendaklah sentiasa beringat dan menjauhi perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, berbagai-bagai malapetaka alam yang terjadi seperti gempa bumi, taufan, letupan gunung berapi, banjir besar, ombak besar dan sebagainya berlaku dan sesungguhnya segala peristiwa tersebut sebenarnya mempunyai pengajaran (mesej) yang tersendiri untuk umat manusia seluruhnya di mana hanya manusia yang benar-benar beriman dan beramal soleh serta yang diberi taufik dan hidayah sahaja yang akan sedar dan mengambil iktibar daripadanya.

Bertamu


Hadith :
Dari Abu Syuraih al-Khiz’iy r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: ”Bertamu (menziarah) itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Para sahabat bertanya:” Bagaimana caranya dia berdosa?” Jawab baginda:”Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu.”

(al-Bukhari)



Huraian
1. Saling ziarah- menziarahi antara satu sama lain akan dapat merapatkan lagi tali persaudaraan. Malah kehadiran orang yang berziarah (bertamu) itu membawa rahmat kepada tuan rumah dan apabila tetamu tersebut meninggalkan rumah maka mereka akan membawa keluar dosa-dosa ahli rumah.
2. Sebagai tuan rumah, setiap tetamu haruslah dilayan dengan penuh hormat, dihidangkan dengan makanan yang bagus (mengikut kemampuan) dan beramah tamah dengan penuh kemesraan.
3. Manakala sebagai tetamu kita haruslah menghormati dan memahami adat (etika) ketika bertamu seperti memilih masa yang sesuai, memastikan percakapan tidak menyakiti hati tuan rumah, tidak meninggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya, tidak melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh tuan rumah, tidak berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah (terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan) dan tidak merungut disebabkan kekurangan yang tidak mampu disediakan oleh tuan rumah.
4. Sesudah bertamu, sepatutnya ucapkanlah terima kasih di atas segala layanan yang telah diberikan. Bersalaman sebelum berpisah di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah dan yang paling penting hendaklah sentiasa menjaga rahsia (jika ada) sama ada yang berkaitan dengan diri tuan rumah, rumah ataupun ahli rumah yang lain demi mengelak terjadinya perbalahan dan permusuhan.

Syirik; Menganiayai Diri Sendiri!


Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:” Setelah turun ayat:’Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan penganiayaan...(hingga akhir ayat surah al-An’am:82) maka para sahabat merasa sukar memahami maksud ayat itu. Kerana itu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Siapakah di antara kami yang tidak pernah menganiayai dirinya?” Jawab Rasulullah s.a.w:”Bukan begitu! Maksudnya ialah sebagaimana diajarkan Luqman kepada anaknya, katanya:”Hai anakku! Janganlah kamu syirik (menyekutukan Allah), kerana syirik itu adalah aniaya besar.”

-



Huraian
Kita diperintahkan menjauhi dosa syirik kerana dosa orang yang mensyirikkan Allah SWT amat besar. Antaranya ialah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah yang maksudnya: ”Orang yang menyekutukan Allah, diharamkannya syurga atasnya dan tempat kembalinya adalah neraka. Dan orang-orang zalim itu tidak memiliki para penolong.” (Al Ma’idah: 72) Syirik dikatakan sebagai satu kezaliman yang sangat besar kerana manusia yang diciptakan Allah, diberi rezeki oleh Allah, kehidupan oleh Allah, tetapi ia tidak tahu berterima kasih bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain. Rasulullah SAW telah mengajarkan sebuah doa agar terhindar daripada dosa syirik iaitu: “Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan Engkau dengan sesuatu, sedangkan aku mengetahui hal itu. Dan aku meminta perlindungan kepada Engkau dari tindakan menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku tidak tahu.”

Pembunuhan Abu Jahal


Hadith :
Anas Ibnu Malik r.a berkata:”Nabi SAW pada hari peperangan Badar berkata:”Siapakah yang akan melihat apa yang telah dilakukan Abu Jahal?” Kerana itu Ibnu Mas’ud pergi dan mendapati Abu Jahal telah dicincang oleh dua orang anak lelaki ‘Afra’ sehingga dia tewas, Ibnu Mas’ud memegang janggutnya dan berkata:”Engkau, Abu Jahal?” Abu Jahal menjawab:”Tidak ada kehinaan atas diri seseorang yang dibunuh oleh kaumnya atau dia berkata:”Kamu telah membunuhnya.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Hadith ini menerangkan tentang pembunuhan Abu Jahal dalam peperangan Badar. Menurut Muslim, Abu Jahal telah dibunuh oleh Mu’adz Ibn ‘Amr Ibn Jamuh dan Mu’adz Ibnu ‘Arfa’, atau Mu’adz Ibn Harits. ‘Arfa’ adalah nama ibunya. Sewaktu Ibnu Mas’ud menjumpai Abu Jahal, dia telah hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebenarnya Ibnu Mas’ud merasa terlalu marah terhadap Abu Jahal disebabkan berbagai kekejaman yang telah dilakukan terhadapnya sewaktu di Mekah dahulu. Maka sewaktu Abu Jahal sedang nazak, Ibnu Mas’ud telah memegang janggut Abu Jahal. Berkata Abu Jahal dengan suara yang terputus-putus:”Aku tidak merasa hina kerana aku dibunuh oleh kaumku sendiri. Dan Abu Jahal menunjukkan kepada ‘Arfa’ yang telah menewaskannya.

Doa Rasulullah Sebagai Penghargaan


Hadith :
Sahl Ibnu Sa’ad r.a berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami dan ketika itu kami sedang menggali parit dan mengangkut tanah dengan pundak-pundak kami (bahu). Kemudian Rasulullah SAW berkata:”Wahai Tuhan ku, tidak ada penghidupan selain daripada penghidupan akhirat. Kerana itu ampunilah orang-orang Muhajirindan dosa orang-orang Ansar.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Perang ini dinamakan Perang Ahzab kerana kabilah Arab bersekutu untuk memerangi Nabi SAW. Perang ini juga dinamakan sebagai Perang Khandak kerana nabi menyuruh supaya para sahabat menangkis serangan musuh dengan menggali parit di sekitar Madinah malahan baginda sendiri turun padang bersama-sama bermandi peluh menggali parit sebagai pertahanan. Parit ini digali atas saranan yang dikemukakan oleh Salman al-Farisi. Sebagai menghargai pengorbanan dan penat lelah umat Islam tersebut maka Rasulullah SAW memohon kepada Allah keampunan bagi para Muhajirin dan Ansar.

Gangguan Solat

Hadith :
Diceritakan oleh Ibnu Umar r.a bahawa nabi s.a.w pernah bersabda ketika perang di Khaibar:”Sesiapa yang memakan buah ini, iaitu bawang, maka janganlah dia mendekati masjid kita ini.”

(al-Bukhari)



Huraian
Bawang adalah sejenis tumbuhan makanan yang jika dimakan secara mentah akan menjadikan mulut si pemakan itu berbau busuk. Hal ini sudah tentu akan mengganggu orang lain yang duduk atau solat berdekatan dengan si pemakan. Oleh itu Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan umatnya berbuat demikian lebih-lebih lagi apabila hendak bersolat secara berjamaah. Demikianlah Islam begitu menjaga segenap aspek kesopanan dalam beribadat yang bukan sahaja tertumpu kepada hubungan dengan Allah malah sesama manusia juga supaya masing-masing dapat menghayati solat yang dikerjakan dengan sebaik-baiknya.

Tiada Kompromi Dalam Maksiat


Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata:”Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’-Nya.”

Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi



Huraian
1. Allah SWT melarang kita daripada bertolak ansur dan berkompromi dalam perbuatan maksiat kerana perkara tersebut merupakan suatu dosa besar dan mengundang laknat daripada-Nya.
2. Segala kebaikan dan kesenangan yang diperolehi adalah rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba-Nya kita wajib bersyukur dengan melakukan ketaatan dan menjauhi sebarang perbuatan maksiat kerana melakukan maksiat adalah sifat hamba yang tidak tahu bersyukur.
3. Sesungguhnya apa jua yang kita perolehi yang berupa kebaikan segalanya adalah daripada Allah SWT dan apa jua keburukan yang menimpa maka itu adalah disebabkan diri kita sendiri disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan.