Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Ali r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.
ii) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

Pemimpin Jangan Mementingkan Diri Sendiri


Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? “Baginda s.a.w. menjawab, “ hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.”

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Setiap tanggungjawab yang telah ditugaskan kepada seseorang hendaklah dilaksanakan sebaik-baiknya.
2. Apabila terdapat dikalangan pemimpin yang menyeleweng daripada garis kebenaran, sebagai rakyat mreka hendaklah berusaha menegur supaya pemimpin tersebut kembali ke pangkal jalan disamping memohon doa kepada Allah S.W.T.
3. Adalah tidak wajar bagi rakyat atau orang bawahan terus menunjukkan sikap penentangan tanpa mengemukakan sebarang pandangan, teguran dan fikiran yang berfaedah terlebih dahulu.
4. Semua pihak hendaklah sentiasa berusaha supaya jurang pemisah antara pemerintah dan rakyat sentiasa harmoni, tidak berlaku sebarang keretakan dan kekurangan.

Bersabar Dalam Berdoa


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”

(Muslim)



Huraian
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik. Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah: “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Berbohong Satu Pengkhianatan



Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.”

(Abu Daud)



Huraian
1. Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.
2. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafiq.
3. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

Tiada Tertanding Dan Tidak Sebanding



Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w, baginda bersabda:”Allah berfirman:”Aku telah menyediakan untuk hamba-Ku yang soleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernh telinga mendengar dan belum pernah teringat (terlintas) dalam hati manusia.”

(Bukhari)



Huraian
Hidup adalah satu perjuangan yang ada pahit dan getirnya. Ini berpadananlah dengan balasan syurga yang teramat indah bagi mereka yang telah berjaya menghadapi segala ujian Allah itu. Ingatlah...Tiada permaidani merah untuk hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman di mana dengan cabaran dan ujian getir yang diberikan itu akan menjadikan keimanan seseorang semakin bertambah kerana nilaian Allah amat tinggi buat hamba-NYA iaitu mereka yang sanggup berkorban nyawa, harta dan tenaga demi agama-NYA

Jalan Ke Syurga

Hadith :
Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”

(Muslim)



Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Dagang Di Dunia

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...”

(Al-Bukhari)



Huraian
Seorang Muslim Hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan. Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.

Fitnah terbesar



Hadith :
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”

(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)



Huraian
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Kisah Pejuang Palestin : Izzudin Al-Qassam


Kisah Pejuang Palestin : Izzudin Al-Qassam
by Leia Az-Zahra Justin Abdullah on Monday, October 4, 2010 at 7:50am

Nama lengkap beliau adalah MUHAMMAD IZZUDDIN ABDUL QADIR AL QASSAM. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jabalah, Syria. Datang dari keluarga yang kuat berpegang kepada Islam. Bapanya seorang guru Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafal al-Quran. Dia pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun dan di sana dia belajar daripada tokoh terkenal, Sheikh Muhammad Abduh. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah.

Sheikh Al Qassam adalah seorang imam, guru dan juga sheikh Tareekat Ash-Shazaliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat.

Semasa perang dunia pertama, dia mengambil bahagian secara aktif dalam Revolusi Syria memerangi penjajahan Perancis. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920.

Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau yang hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah besar di bumi Palestin.

 Izzudin Al Qassam datang ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan jahat Yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29-30hb Ogos 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara nasional untuk orang Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya. Sheikh Izzudin juga melihat penghijrahan orang Yahudi secara besar-besaran ke bumi Palestin dan para pemuda Yahudi bersenjata datang dari pelbagai penjuru dunia untuk merebut tanah dengan kekerasan mahupun dengan pujuk-rayu.

Di Haifa dia tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An Nasr. Beliau kemudiannya bertugas di Masjid Al Istiqlal iaitu masjid terbesar di Haifa pada masa itu. Pada tahun 1927 dia mendirikan pejabat cawangan Jam’iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan pemuda Muslim) di Kota Haifa dan beliau sendiri bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun ada sebahagian daripada mereka yang mempunyai pendapat yang aneh. Ada di antara mereka yang bepandangan bahawa cukup untuk menghadapi mereka dengan demonstrasi dan sebahagiannya mengatakan cukup dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian permasalahan ini.

Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali identiti mereka, mengadakan pembinaan, latihan organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan mereka. Dalam tempoh tersebut beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariah dan ketua pergerakan. Hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat juga mengizinkan beliau memiliki dana kewangan.

Perjuangannya sangat menitikberatkan kepada tiga perkara utama:-1. Kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi secara berterusan.2. Ajakan untuk berjihad.3. Memilih orang-orang yang berkualiti dan dibekalkan dengan pemikirian yang benar serta kemahiran ketenteraan.
Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Pada tahun 1935, Izzudin Al Qassam dalam usianya yang telah mencapai enam puluh tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Dia mengumpulkan anggota keluarganya untuk memberitahukan niatnya dan menjanjikan keazaman untuk berjumpa dengan mereka di syurga kelak.

Pasukan Inggeris dengan senjata yang lengkap dan dibantu dengan pesawat tempur telah menyerang pasukan Izzuddin Al-Qassam di Ya’bad. Dalam pertempuran tersebut Izzuddin Al-Qassam gugur sebagai syahid bersama dua orang pejuang lainnya pada 20hb November 1935.

Orang-orang Palestin di seluruh negara melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah as Syahid Izzudin al Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan orang ke makam di kampungnya. Kesyahidan tiga pejuang tersebut telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan permogokan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.
Jasa Sheikh Izzuddin Al Qassam sentiasa dikenangi oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin malahan sebuah sayap ketenteraan HAMAS (Harakah Muqawamah Islamiyah), mengabadikan namanya dalam unit dan bendera mereka.

Berbicara mengenai tradisi pergerakan Islam moden dan sejarahnya, nama Izzudin Al Qassam tidak dapat dipisahkan; beliau memiliki cara yang tersendiri dalam pembinaan generasi Islam dengan menggunakan pendekatan pendidikan, kesiap-sagaan, organisasi dan jihad. Jika diamati lagi, dalam aliran pergerakan Islam terdapat seorang tokoh besar yang mempunyai kaedah pergerakan yang pelbagai dan dia adalah salah seorang tokohnya.






Oleh:Zainur Rashid Zainuddin.ISMA Negeri Sembilan

• Mohsein M.Soleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation. Cairo 2005.• Mohsein M.Soleh. Kertas Kerja Seminar Isu Palestin. TTS, Kuala Lumpur 2005• Muhammad Sa’id Mursi. Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang sejarah. Versi Indonesia Pustaka Al kauthar, Jakarta 2007• Mustafa Muhamad Tahhan. Tokoh Pergerakan Islam masa kini. Al Hidayah Publishers, Kuala Lumpur 2002• Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co. Kuwait. 2006.

MEMANG BENAR POKOK SUDAH BERKATA-KATA DI PALESTIN


MEMANG BENAR POKOK SUDAH BERKATA-KATA DI PALESTIN
by Zameer Fisabilillah on Thursday, September 30, 2010 at 10:52am

Kenyatan akhbar ini pasti akan menimbulkan berbagai persoalan dan perbincangan sama ada untuk menyokong atau menolak perkara ini. Adakah benar pokok-pokok berkata-kata di Ramallah? Dan adakah ini bermakna tanda-tanda kiamat telah mula timbul? Justeru itu akhbar "Afaq Arabiah" milik Ikhwan Muslimim di Mesir keluaran 15 Mei 2002 telah berjaya mendapat laporan yang lengkap mengenai perkara ini dari sumbernya di Palestin.Pihak akhbar telah menghubungi Syeikh Ahmad Yasin, Pemimpin Gerakan Islam HAMAS di Palestin melalui telefon dan beliau menegaskan: "Pokok berkata-kata di Ramallah adalah salah satu tanda bagi kemenangan Islam, dan ini bukan tanda yang pertama. Sebelum ini sebahagian dari pejuang kami yang syahid di dalam pertempuran, jasad-jasad mereka berbau harum ketika hendak dikebumikan".

Syeikh Ahmad Yasin menyatakan semasa dihubungi oleh pihak akhbar melalui telefon: "Sesungguhnya berita gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW mengenai pokok-pokok dan batu-batu berkata-kata telahpun berlaku dan masa akan datang menyaksikan tanda-tanda lain dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dari berita gembira tersebut. Inilah yang meneguhkan keyakinan kami bahawa sesungguhnya pertolongan Allah SWT akan datang dan ianya tidak mustahil berlaku.Perkara ini juga mengembalikan kekuatan barisan pejuang-pejuang Islam di Palestin. Ini juga memberikan makna yang besar kepada kami bahawa musuh kami akan hancur dan musnah dengan izin dari Allah SWT dan kami yakin dengan Sabda Baginda SAW : "Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi.
Maka orang-orang Yahudi akan bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok-pokok (kerana takutkan orang-orang Islam) dan batu-batu dan pokok-pokok tersebut berkata kepada orang-orang Islam: "Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi dibelakangku. Bunuhlah ia!. Kecuali pohon 'Gharqad' kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi".

Syeikh Ahmad Yasin menjelaskan bahawa pokok-pokok berkata-kata adalah tanda awal kemenangan bagi pejuang-pejuang kebenaran yang tidak akan ditimpa kehinaan dan kelemahan seperti yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW:

"Tidak akan hilang satu golongan dari umatku yang akan menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan dapat dimudaratkan oleh orang-orang yang cuba menentang dan merendahkan mereka sehinggalah tiba pertolongan dari Allah SWT". Sahabat bertanya kepada Baginda SAW: " Siapakah mereka Wahai Rasulullah? Manusia dari umatku di Baitul Muqaddis dan pelindung-pelindung (mujahid-mujahid) di Baitul Muqaddis".

Berikut adalah laporan peristiwa tersebut yang disampaikan oleh Syeikh Ahmad Yasin, dimana lebih kurang pukul 8.30 pagi hari Ahad selepas hari serangan terakhir Yahudi terhadap Ramallah, tiga orang pemuda Palestin keluar untuk menuju ke hospital pusat di Ramallah untuk mencari mangsa-mangsa serangan udara yang dilancarkan oleh pihak Israel.
Semasa di pertengahan jalan, mereka melihat seorang penduduk Yahudi berdiri di atas sebuah tembok. Mereka berpandangan diantara satu sama lain dan mengambil kata sepakat untuk membunuh Yahudi tersebut. Mereka menghampiri Yahudi tersebut secara sembunyi-sembunyi supaya kedatangan mereka tidak disedari oleh Yahudi tersebut tetapi mereka mendapatinya telah melarikan diri. Mereka terus berusaha mencari dan mengepung Yahudi tersebut sehingga ke sebuah jalan mati tetapi mereka tidak berjaya menemui Yahudi tersebut. Ketika mereka hendak pulang mereka mendengar satu suara memanggil mereka. Pada sangkaan mereka itu adalah khayalan mereka apabila mereka gagal mencari punca dari mana suara itu datang dan mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan mereka ke hospital. Sekali lagi mereka mendengar suara tersebut berulang kali memanggil mereka dan akhirnya mereka mendapati bahawa suara itu datang dari belakang salah satu dari pokok-pokok yang berhampiran dengan mereka. Pada sangkaan mereka suara itu adalah dari salah seorang mangsa serangan Yahudi tempohari yang memanggil mereka untuk meminta pertolongan.

Ketika mereka sampai berhampiran dengan pokok tersebut mereka mendengar satu suara yang samar-samar menyuruh mereka melihat dan membunuh Yahudi yang bersembunyi di belakang pokok tersebut. Mereka benar-benar mendapati Yahudi yang mereka cari itu bersembunyi di belakang pokok tersebut dan mereka terus mengepung dan membunuh Yahudi tersebut.Selepas itu mereka segera meninggalkan tempat tersebut untuk mengelakkan bertembung dengan tentera Yahudi. Mereka terus menuju ke hospital dan menceritakan peristiwa tersebut kepada pihak hospital. Dalam beberapa jam, berita tersebut telah tersebar luas ke seluruh bandar Ramallah dan sampai ke pengetahuan Yahudi yang mencari-cari punca sebenar pembunuhan Yahudi tersebut. Perkara ini menakutkan tentera-tentera Israel dan mereka telah mengurangkan jumlah tentera di tempat kejadian. Saluran berita Qatar telah menyebarkan berita mengenai peristiwa ini melalui akhbar dan media massa dan mengiktibarkan bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah salah satu dari tanda-tanda kiamat dan ini adalah satu peluang bagi penduduk Palestin untuk mencapai pertolongan dari Allah SWT yang makin hampir.

Berdasarkan dari apa yang disampaikan oleh Syeikh Ahmad Yassin, Doktor Abdul Aziem al-Mutni'ie-pensyarah Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar menegaskan: "Kami tidak ragu-ragu untuk menerima perkara tersebut kerana ianya telah jelas di dalam hadis Baginda SAW dan ini bermakna, peristiwa ini tidak bercanggah dengan hadis dan kerana tidak ditentukan di dalam hadis apabila pokok berkata-kata maka kiamat akan terjadi esok. Tidak diragui lagi bahawa umur dunia yang telah berlalu lebih banyak dari yang ditinggalkan."

Oleh itu tidak perlu diragui lagi tentang peristiwa ini lebih-lebih lagi ianya disampaikan oleh Syeikh Ahmad Yassin. Ini adalah peluang yang baik bagi umat Islam dan salah satu dari tanda-tanda pertolongan Allah SWT.
Ya kawan-kawanku,ini adalah berita pada tahun 2002?Bagaimana pula dengan sekarang?2010….Saya yakin di Palestin makin banyak keajaiban yang berlaku tetapi cuba disembunyikan oleh bangsa YAHUDI untuk mengelakkan anda lari daripada menjadi "PENGIKUT SETIA PERMAINAN DUNIA" yang melalaikan ciptaan yahudi laknatullah….

Tanggungjawab Sosial

Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya."

Abu Daud dan at-Tirmidzi



Huraian
1. Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.
2. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.
3. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.

Wasiat Jangan Ditangguhkan


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hak bagi seseorang yang hendak mewasiatkan hartanya (menangguhkannya) bermalam sehingga dua malam, melainkan hendaklah ia segera menulis wasiat itu”.

Riwayat Hadith al-Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Hidup dan mati ditetapkan oleh Allah, oleh yang demikian tidak sesiapa pun yang dapat tahu bila kematian itu akan menjemput kita.
2. Seseorang yang hendak berwasiat janganlah ia menangguh-nangguhkan membuat wasiatnya.
3. Berwasiat adalah harus bagi orang-orang Islam mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syara’

Iman Dan Amal Adalah Dua Perkara Yang Seiring

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring.”


Riwayat al-Hakim



Huraian
Pengajaran hadis:
i) Iman mengikut pengertian syarak adalah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang soleh dan perlakuan yang baik.
ii) Seorang yang benar-benar beriman adalah mereka yang zahirnya sama dengan batinnya, mereka benar dalam keimanan dan ikhlas dalam melakukan amalan. Merekalah golongan ‘as-Sodiqun’ yang diperintah oleh Allah S.W.T agar kita sentiasa mendampingi mereka (bersahabat dengan mereka).
iii) Oleh sebab tingginya kedudukan iman maka Allah S.W.T telah menjadikan iman itu sebagai syarat asas penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan di mana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah ada iman di dalam diri pelakunya.
iv) Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya maka dia merupakan orang yang munafiq. Ciri-ciri munafiq itu ialah kata-katanya bercanggah dengan perbuatannya dan amalannya ketika di khalayak ramai dan ketika dia bersendirian serta apa yang dizahirkannya adalah berbeza dengan apa yang disembunyikannya.
v) Iman dan amal soleh adalah seiring. Iman tidak akan sempurna tanpa amal soleh di mana Allah telah menyebutkan perkara ini sebanyak 60 kali di dalam al-Quran.

Hakikat kebijaksanaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”

Riwayat at-Tirmidzi



Huraian
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Berpada-pada

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda “Seseorang mukmin belum sempurna imannya hinggalah ia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan bertengkar sekalipun benar.”

(Ahmad dan at-Tabrani)



Huraian
1. Bergurau janganlah melampaui batas kesopanan hingga menyakiti atau menghina sehingga menyebabkan dukacita dan sebagainya.
2. Banyak bergurau boleh menyebabkan hati seseorang mati dan mengurangkan kehebatan bahkan bergurau dengan cara mengolok-olok, mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah boleh mendatangkan dosa sama ada orang yang melakukannya itu menyedarinya ataupun tidak.
3. Selaku seorang Islam kita haruslah berlapang dada (toleransi) dalam menghadapi perbedaan pendapat di mana Islam melarang kita bertengkar hingga menyebabkan timbulnya pertikaian dan saling berhujjah, mengkafirkan atau menganggap yang lain halal darahnya (bunuh-membunuh).

Perkahwinan Rasulullah Saw Dengan Aisyah R.a

Hadith :
Daripada Aisyah r.a katanya : “ Aku berkata: “ Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan jika tuan berhenti di sebuah wadi yang ada pokok yang telah dimakan sebahagiannya dan tuan dapati pula pokok yang belum dimakan darinya, pokok manakah yang tuan hendak menternak unta tuan? Rasulullah SAW bersabda : “Pada pokok yang belum lagi dimakan daunnya. Maksud Aisyah ialah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengahwini perawan selainnya.” (al-Bukhari)

al-Bukhari



Huraian
Aisyah r.a adalah satu-satunya seorang perawan (dara) ketika diperisterikan oleh Rasulullah SAW. Bahkan ketika itu umur beliau masih kanak-kanak lagi sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a. maksudnya:
“Bahawasanya Nabi saw telah mengahwini Aisyah sedang (ketika itu) ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun”..
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Mazhab Empat, Islam tidak menentukan had umur untuk berkahwin. Ini bermakna bahawa kanak-kanak kecil juga boleh berkahwin. Walau bagaimanapun menurut Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.
Menurut Seksyen tersebut perkahwinan kanak-kanak di bawah umur hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah. Hal ini bukanlah berlawanan dengan pendapat Mazhab Empat kerana hakikatnya kebenaran dari Mahkamah adalah bertujuan memberi peluang kepada Mahkamah untuk menyelidiki gadis tersebut dari segi latar belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumah tangga demi menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut.

Empat Kunci Kemurkaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Empat kalangan yang pada waktu pagi mereka dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah. Abu Hurairah bertanya: Siapa mereka wahai Rasulullah? Jawab baginda:” Orang lelaki yang berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis.”

(At-Tabrani dan al-Baihaqi)



Huraian
1. Allah S.W.T melaknat orang yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk seperti golongan bapuk (maknyah), perempuan yang berperwatakan lelaki, mereka yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan homoseks dan lesbian.
2. Semua perbuatan ini jelas menunjukkan penentangan terhadap hukum fitrah manusia yang seolah-olah menolak ketetapan Allah S.W.T. Mereka membiarkan hawa nafsu menguasai diri hingga sanggup melakukan perkara mungkar bahkan lebih jijik lagi sanggup bersetubuh dengan binatang.
3. Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sewajarnya mereka bertindak selaku orang yang berakal fikiran bukan seperti binatang yang bernafsu buas tanpa mengenal buruk baik, halal dan haram.
4. Syaitan adalah musuh utama manusia. Setiap perbuatan buruk yang dilakukan adalah petanda bahawa seseorang itu sudah terpengaruh dengan godaan dan hasutannya.

Tatatertib Wanita Di Dalam Masjid

Hadith :
Yahya bin Qaza’ah menyampaikan kepada kami, daripada Ibrahim bin Said, daripada az-Zuhri, daripada Hind binti Harith daripada Ummu Salamah katanya :”Apabila rasulullah s.a.w memberi salam, wanita-wanita bangun ketika selesai salam baginda dan baginda duduk sekejap pada tempatnya sebelum baginda bangun. Katanya:”Kami berpendapat wallahu a’laam, itu adalah bertujuan supaya wanita-wanita beredar lebih dahulu daripada lelaki.”

(Bukhari)



Huraian
Sebarang perkara yang mendatangkan fitnah, hendaklah dielakkan apalagi dalam mengerjakan ibadat solat sedangkan solat itu bertujuan mencegah kekejian dan kemungkaran. Oleh itu bagi wanita yang mengerjakan solat di masjid seboleh-bolehnya mengelak daripada sebaranga fitnah yang berpunca daripada berbagai perkara seperti bertabarruj (berdandan atau bersolek), ikhtilath (bercampurnya antara lelaki dan perempuan), memakai wangi-wangian dan lain-lain. Maka apabila selesai mengerjakan solat cepat-cepatlah pulang ke rumah dan jangan sekali-kali mendedahkan diri pada pandangan lelaki yang bukan mahram sebagaimana yang dimaksudkan di dalam hadith di atas.

Allah Mengampuni Dosa Orang Yang Berpuasa

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Riwayat Bukhari dan Muslim



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Puasa mencakupi pembatasan seluruh anggota tubuh bahkan hati dan pikiran daripada melakukan segala macam dosa. Imam Al Ghazali berkata, "Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal berpuasa.” Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan haus, tetapi tercemar anggota tubuhnya dengan perbuatan dosa.
ii) Sesungguhnya iman dan nafsu yang jahat tidak mungkin boleh bersama kerana mustahil orang yang kuat imannya disertai oleh nafsu yang liar. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang bernafsu liar mendakwa imannya kuat. Maka bulan Ramadhan merupakan peluang bagi umat Islam menundukkan nafsunya kerana peningkatan iman tidak akan berlaku sekiranya nafsu gagal dijinakkan. Sedangkan seseorang itu hanya akan mencapai tahap jihad yang paling tinggi apabila terlebih dahulu berjaya mengekang dan menjinakkan nafsu dalam dirinya.
iii) ‘Dengan penuh keimanan’ sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas bermaksud yakin dengan janji-janji Allah S.W.T dan melaksanakan perintah-perintah Allah dengan penuh keikhlasan iaitu mencari keredhaan daripada Allah semata-mata, bukan berpuasa sekadar ikut-ikutan dengan tujuan untuk berbangga-bangga (riya’), mendapatkan pujian atau habuan dunia.

Puasa Orang Yang Musafir

Hadith :
Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah, katanya: “Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”. Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.”

(Muslim)



Huraian
1. Orang yang sedang musafir dalam bulan Ramadhan, dibenarkan meneruskan puasa dan yang tidak tahan berpuasa mereka dibenarkan berbuka tetapi diwajibkan mengqadha’nya pada masa yang lain.
2. Islam adalah agama yang mementingkan kebajikan penganutnya. Ia memberi kemudahan (rukhsah) kepada sesiapa yang sedang sakit atau di dalam perjalanan (musafir), tidak berkemampuan dan sebagainya. Sama sekali tidak terdapat paksaan hingga mendatangkan kemudaratan. Oleh itu kita disuruh agar mengerjakan suruhan Allah dengan penuh keikhlasan, keyakinan dan ketaatan bahawa setiap segala perintah Allah itu mengandungi kebaikan dan hikmah yang tersendiri sama ada yang diketahui atau tidak oleh manusia.

Puasa Tanpa Izin

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Seorang wanita janganlah berpuasa (sunat) ketika suaminya ada, melainkan dengan izin suaminya; dan janganlah dia membolehkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya; dan sesuatu yang disedekahkan isteri dari hasil usaha suaminya tanpa perintah suami, pahalanya seperdua bagi suami.”

(Muslim)



Huraian
Hadith ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya. Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat.

Kewajipan Membayar Zakat

Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Abu Daud)



Huraian
1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram)
4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)

(Muslim)



Huraian
1. Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.
2. Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam, lebih-lebih lagi di waktu malam di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat daripada Allah.

Hutang Puasa Orang Yang Meninggal Dunia

Hadith :
Dari Aisyah r.a, bahawa Rasulullah saw. bersabda:”Sesiapa yang meninggal dunia dan ia mempunyai tanggungan puasa, maka walinya harus berpuasa untuk membayar tanggungannya.

(Muslim)



Huraian
1. Kelompok orang-orang yang tidak wajib puasa adalah orang tua yang tidak kuat untuk berpuasa, wanita yang sedang mengandung, dan wanita yang sedang menyusukan anaknya (boleh berbuka jika tidak mampu meneruskan kerana dikhuatiri akan mendatangkan mudharat pada ibu atau anak).
2. Puasa ibu bapa yang tertinggal boleh diganti jika diketahui jumlahnya tetapi jika tidak diketahui atau tidak diwasiatkan tidaklah perlu diganti, namun adalah lebih baik disedekahkan sedikit harta dan diniatkan untuk Allahyarham serta memohon keampunan atas segala dosa-dosa mereka kerana doa anak yang soleh adalah sedekah jariah yang akan sampai kepada si mati.
3. Namun orang yang wafat dalam keadaan mempunyai hutang nazar puasa, harus digantikan oleh walinya, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :"Sesiapa yang wafat dan mempunyai hutang puasa nazar hendaklah diganti oleh walinya." (Bukhari & Muslim)
4. Puasa adalah hak Allah, jika ditinggalkan maka ia menjadi hutang. Oleh itu orang yang berhutang atau walinya wajib melangsaikannya .

Puasa lidah

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
1. Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara perkara yang membantalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkata yang kotor atau sebagainya.
2. Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
3. Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.

Malam Lailatul Qadar

Hadith :
Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”

(al-Bukhari)



Huraian
1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.
2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut
3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.
4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.

Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan


Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.
2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud :Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka


Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”

(al-Bukhari dan muslim)



Huraian
Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

Disunatkan Berbuka Sebelum Mengerjakan Solat Maghrib


Hadith :
Dari Anas r.a ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila makan malam (berbuka) telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).

-



Huraian
1. Umat Islam hendaklah menyediakan juadah makan malam terutama untuk berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana, dan juadah janganlah terlalu banyak sehingga mendatangkan pembaziran.
2. Apabila hidangan sudah disediakan untuk berbuka maka kita adalah disunatkan makan terlebih dahulu sebelum menunaikan sembahyang fardhu Maghrib kerana dengan berbuka kita dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga, dan dapat menunaikan sembahyang dengan rasa bertenaga dan selesa.

Tidak Mendapat Pahala Puasa Selain Dari Lapar Dan Dahaga


Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”

(al-Bukhari)



Huraian
1. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.
2. Puasa yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.
3. Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula.

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

-



Huraian
Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa


Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.

(At-Tirmidzi)



Huraian
1. Umat Islam yang berpuasa Ramadhan digalakkan melakukan amal soleh sebanyak mungkin seperti bersedekah, menolong orang yang susah, memberi atau menjamu makanan bagi orang yang berpuasa dan sebagainya kerana sedekah yang paling afdhal ialah bersedekah di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan.
2. Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu segala perkara yang dapat melahirkan persefahaman, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain tidak pernah diabaikan.

Sunat Berbuka Dengan Kurma


Hadith :
Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.

(Abu Daud dan at-Tirmidzi)



Huraian
1. Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.
2. Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
3. Hikmah disunatkan kita berbuka dengan tamar ialah kerana kurma dipercayai mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga dipercayai kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Kandungan protein di dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2.0%, serat 2.0 hingga 4.0% manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57%.
4. Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah, kemudian beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW akan diberi ganjaran pahala di akhirat serta mendapat nikmat dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.

Puasa Yang Berkat


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”


Riwayat Ibnu Majah



Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.
ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.
iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.
v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Bezakan Puasa Dengan Orang yahudi Dan Nasrani


Hadith :
Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.”

(Muslim)



Huraian
1. Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu.
2. Ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam juga telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, cuma terdapat beberapa perbezaan :
i. Orang-orang Islam menyegerakan berbuka puasa sedangkan orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Agama akan sentiasa tampak syi'arnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera (tepat pada waktunya), sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambatkannya.
ii. Disunatkan bagi orang Islam yang berpuasa makan sahur sebelum masuknya waktu subuh kerana dengan makan sahur boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.
3. Umat Islam hendaklah berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan tidak mengerjakannya kerana menganggap bahawa ia adalah suatu tradisi (ikut-ikutan). Bahkan apa sahaja ibadat yang dilakukan perlu dilakukan dengan ketaatan dan kesedaran tentang kewajipan untuk mengerjakannya.

Doa Ketika Melihat Anak Bulan


Hadith :
“Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a. bahawa nabi SAW, apabila baginda melihat anak bulan baginda membaca doa yang bermaksud: “Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah S.W.T. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan.

(at-Tirmidzi)



Huraian
1. Bulan merupakan kejadian Allah yang sangat berguna. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal Ramadhan serta dapat membuat penentuan ke atas amal ibadat yang hendak dilakukan dari masa ke semasa.
2. Kalender Hijriah (Islam) terdiri dari dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jumadil awal, Jumadil akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
3. Islam sangat menggalakkan umatnya agar membaca doa apabila melihat sesuatu nikmat atau mendapat rahmat Allah, sama ada secara langsung ataupun tidak. Contohnya, apabila melihat anak bulan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Khusyuk Yang Terganggu


Hadith :
Diriwayatkan dari Aisyah katanya:”Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, nabi berkata:”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku.”

(al-Bukhari)



Huraian
Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang ada gambar (bergambar). Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta'ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta'ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

Keyakinan dalam Berdoa


Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Rasulullah saw bersabda:”Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah:”Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.”

-



Huraian
Sesorang muslim itu hendaklah bersemangat (untuk mencapai) apa yang bermanfaat untuk dirinya serta meminta pertolongan kepada Allah tanpa merasa lemah dan putus asa. Berdoa mestilah mengikut adab-adabnya supaya menampakkan kesungguhan harapan untuk mendapatkan sesuatu kerana Allah SWT hanya akan menerima doa dari orang yang betul-betul berhajat.

Sunnah rasul


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:”Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dahulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dahulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka.”

(al-Bukhari)



Huraian
Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik dalam segenap aspek tatacara hidup seorang Muslim sama ada dari segi tutur katanya, tingkahlakunya, ibadahnya dan lain-lain lagi. Baginda mengajar kita adab sopan yang sepatutnya yang membezakan kita dengan penganut agama yang lain. Walau sekecil manapun sesuatu itu, terdapat banyak hikmah tertentu yang baik dari segi agama mahupun ilmu perubatan yang melaluinya jelas membuktikan akan kebenaran agama Islam selaku agama fitrah yang sesuai bagi seluruh umat manusia.

Harapan Ramadhan - Raihan feat. Man Bai

Sempurnakan Hari Dengan Keberkatan


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

Abu Hurairah r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan diberkati oleh Allah S.W.T.
Ii) Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding pada bulan-bulan yang lain.
Iii) Umat Islam diseru agar tidak mensia-siakan keberkatan di bulan ini ,malah sewajarnya merebut peluang yang ada dengan menambahkan lagi ibadat dan amal kebajikan.
iv) Bersempena dengan kemuliaan bulan ini juga umat Islam ditegah daripada mendekati perkara yang dilarang dan mungkar kerana pada bulan ini rahmat dan kasih sayang Allah amat luas sehingga orang-orang yang telah dijanjikan neraka sekalipun akan dibebaskan oleh Allah dengan berkat kebaikan yang dilakukannya.

Mati Dalam Perbuatan Syirik


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya”

Riwayat Hadith At-Tarmizi



Huraian
1. Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.
2. Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.
3. Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.

Salam Kata Pengantar~... (^_^)

Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuhu,



Kepada rakan-rakan, sahabat handai, pengunjung setia dan saudara serta saudari sekalian. Terima kasih diatas kesudian anda meluangkan masa bagi melawati laman 1HIDAYAH.blogspot.com ini bagi bersama mendapatkan ilmu dan pengetahuan serba sedikit tentang hadis sahih dari Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.


Saya sekali lagi bagi pihak penulis utama mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan anda menjayakan program ini. Sebagai penulis kedua, saya amat berharap kepada anda supaya tidak letih dan jemu bagi mengejar kejayaan dunia dan akhirat supaya kita sentiasa didalam rahmat keberkatannya didalam kehidupan yang serba mencabar pada hari ini.


Saya juga ingin bersama mengajak anda menggalakkan setiap dan segala pengetahuan islam ini disebar terus menerus agar ianya tidaklah ditinggalkan sekadar penulisan sahaja. Ia adalah sebuah ilmu pengetahuan yang cukup mendalam dan ianya juga menjadi inspirasi kehidupan yang lebih harmoni dan aman.


Bagi setiap manusia yang hidup pada zaman ini, tanggungjawab dan kesibukan menjadi isu utama bagi mereka sebagai beban yang menganggau fikiran dan hak asas kehidupan harian. Sehinggakan mereka lalai dan sanggup meninggalkan segala tanggungjawab sebenar sebagai seorang hamba Allah. Bagi kehidupan seperti saya, ini tidaklah menjadi satu isu harian malah ianya menjadi sebuah tanggungjawab yang lebih berat yang perlu ditangani oleh setiap insan yang hidup pada zaman ini.


Kejatuhan moral dan akhlak adalah sebuah bebanan yang cukup besar bagi mereka yang menjaga kepentingan hak agama dan kehidupan yang sempurna dan baik. Tidak salahlah jika menjadi sesebuah perkara itu secara sedar atau tidak disedari. Malah lebih teruk lagi apabila kita mendapati bahawa yang tergolong didalam aspek ini adalah salah seorang dari ahli keluarga itu sendiri.


Tanggapan ini telah pun terjawab dan sudah mempunyai jawapan yang cukup sempurna didalam Agama Islam. Sebagai rujukannya adalah seperti contoh Hadis Rasulullah dan Al-Quran Karim. Mengapa perlu kita menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sehingga menjadi perbalahan dan pergaduhan. Seharusnya perkara ini dilihat dahulu sepertimana didalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


“Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya.”


Abu Daud dan at-Tirmidzi


Masih diantara kita yang tidak memikirkan tanggungjawab mereka dalam mengatasi masalah ini, ada diantaranya malu untuk bertindak dewasa setelah mengetahui bahwasanya mereka mempunyai tanggungjawab yang penting dalam menjaga seisi kehidupan yang mereka tanggungi. Bukanlah niat saya untuk menyinggung, tetapi masaalah ini seharusnya dipelajari dari kecil dan ianya akan terbentuk apabila tiba zaman dewasanya.

Itulah yang berkaitan dengan hadis diatas. Maksud saya, membendung dan mempelajari serta mengajari sewaktu dari permulaan pembentukan keluarga. Salah dari isinya adalah silap dari pokoknya, dan bagaimana ia dijaga. Fikir-fikirkanlah perkara ini sedalamnya bagi mereka yang waspada dan ingin melakukan perubahan untuk masa hadapan.


Sesudah mencuba pasti akan melihat perubahannya. Tetapi kadang-kadang ada diantara kita yang cuba ingin melihat ia berubah sekelip mata, sedangkan bayi yang baru cuba berjalan masih lagi mencuba dengan beberapa percubaan yang pasti akan keletihannya.


Dimanakah permulaan dewasa seseorang manusia itu jikalau dilihat dari aspek umur dan kategori. Bagi seorang lelaki, umurnya dikira dewasa sejak ia pandai melihat akan keburukan dan kebaikan lalu dibezakannya. Bagi seorang wanita dewasa apabila kematangan pendiriannya menjadi dua, malu untuk melakukan dan bijak untuk memilih.


Aspek ini juga dipandang dari segi psikologinya yang dilihat secara rawak di Malaysia. Bagi sesetengah penduduk di negara ini masih lagi jahil dalam pemilihan jalan hidup mereka yang sebenar. Bukanlah niat saya untuk berkata begitu, tetapi jika nak dibandingkan dengan Indonesia juga Australia, kita tidaklah begitu besar dan rakyatnya juga tidaklah mencecah berbilion penduduk seperti di Amerika dan negara yang lain tidak termasuk Brunei dan Singapura bagi negara yang terhampir.


Nilai kehidupan agama kita sepatutnya diselarikan sehingga majoriti dari kita menjadi lebih sepadan dan memahami kehidupan sebenar itu dengan lebih teliti dan terbuka. Supaya tidaklah berlaku disini pertikaian fahaman dan perbalahan pengasingan (agama, bangsa dan mentaliti).


Jadi dengan ini, ayuh bersama kita menegakkan yang hak dan yang terbaik bagi pemikiran dan pandangan masyarakat. Kerana jika kita masih lagi memihak kepada yang bukan hak, kita masih lagi dalam keraguan dan ketakutan. Kerana yang hak itu tidak pernah menjuruskan manusia itu kepada kebatilan dan kejahilan.


Sekian, terima kasih diatas kesudian anda membaca sedikit sebanyak perangsang dari saya.


Dengan itu apa yang baik itu adalah dari-NYA, dan yang kurang itu adalah dari kesilapan saya sendiri. Harapan saya sebagai penulis, bersamalah menjayakan setiap program amal kebaikan supaya kita dapat bersama berkongsi kejayaan didunia dan diakhirat sana.


Wassalam...


Yang tulus,


PENULIS Ke-2

Menjaga Imej Agama


Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ”

Riwayat at-Tabrani



Huraian
1. Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.
2. Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.
3. Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

Sikap Yang Baik


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.”

Riwayat Muslim



Huraian
i) Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.
ii) Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya.
iii) Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Keguguran Dan Cara Mengurus


Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Anak yang mati keguguran disolatkan dan didoakan bagi kedua orang tuanya agar memperolehi keampunan dan rahmat.”


Riwayat Abu daud dan at-Tirmidzi



Huraian
1. Sekiranya berlaku keguguran dan bayi yang meninggal telah berumur 120 hari (4 bulan), maka ia perlu diperlakukan seperti mengurus jenazah biasa.
2. Dalam menguruskan jenazah kita hendaklah mengikut cara-cara yang sesuai dengan syariat Islam iaitu memandikannya, mengafankannya, solat dan menguburkan. Tetapi bagi bayi yang keguguran, jika tidak dapat dimandikan, cukuplah dengan mengafankan, solat dan menguburkan sahaja.
3. Manakala doa yang dibaca dalam solat jenazah itu ialah doa untuk kedua ibu bapa bayi yang meninggal itu bukan untuk bayi yang meninggal itu sendiri.

Setiap Penyakit Ada Penawarnya


Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”

(Abu Daud)



Huraian
1. Setiap penyakit ada ubatnya, jika bersesuaian ubat tersebut, maka ia akan sembuh dengan izin Allah S.W.T.
2. Meskipun Islam mengharamkan penggunaan bahan-bahan tertentu seperti najis, air kencing, alkohol dan sebagainya untuk tujuan perubatan namun terdapat keadaan di mana seseorang itu diberi keharusan (rukhsah) untuk berbuat demikian iaitu bilamana berada dalam peringkat darurat (kecemasan) dan tiada lagi ikhtiar-ikhtiar lain yang boleh dilakukan. Atau dengan lain perkataan diharuskan untuk yang terpaksa.
3. Dalam masalah ini pengambilan benda-benda yang haram sebagai ubat hendaklah sekadar perlu sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang menimpa. Manakala rawatan tersebut mestilah dikendalikan oleh seorang doktor Muslim yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.
4. Rukhsah ialah hukum keringanan yang disyari'atkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) manakala pengertian darurat pula ialah kesusahan yang memudaratkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya.
5. Selaku seorang Islam kita diwajibkan berikhtiar untuk mendapatkan rawatan yang halal dan menjauhi perkara yang haram apalagi yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui


Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta kerana Allah mengatakan:’Pemandangan tidak sampai kepada-Nya”. Dan sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui hal yang ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan mengatakan:”Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah.”

(Muslim)



Huraian
Sesungguhnya segala yang sabit wujudnya di alam maya ini adalah lebih luas daripada apa yang dapat dicapai dengan pancaindera mahupun peralatan canggih ciptaan manusia. Demikian fahaman akal manusia yang pendek dan terbatas. Dengan itu ternyata bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib dengan jalan akal yang tenaganya terhad dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata, adalah suatu usaha yang sia-sia, yang sudah tentu akan menemui kegagalan. Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia sebenarnya ialah untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai kemakmuran dan kemakmuran hidup di dunia dan akhirat, bukan digunakan pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya yang akhirnya menyebabkan berlakunya kesesatan.

Catatan Amal Hingga hari Akhirat

Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."

Ammaar bin Yasir r.a



Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap umat Islam dalam setiap masa.
Ii) Ia sebagai menandakan ingatan, cinta dan kasih terhadap baginda di mana jasa dan pengorbanan baginda amat besar sekali terhadap Islam dan perkembangannya.
Iii) Orang yang tidak membiasakan dirinya dengan berselawat adalah dianggap sebagai orang yang tidak mengenang budi (tidak menyanjung) baginda sehinggakan syarak melabelkan mereka sebagai orang yang bakhil.
iv) Disebabkan besarnya fadhilat berselawat tersebut, maka Allah S.W.T telah menetapkan malaikat yang khusus bertugas sebagai penyampai selawat yang diucapkan terus kepada baginda.

Catatan Kebaikan Dan Kejahatan


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu."

Abu Hurairah r.a



Huraian
i) Setiap umat Islam digalakkan membanyakkan bacaan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w
ii) Maksud berselawat itu ialah berdoa memohon supaya Allah S.W.T melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada baginda .
iii) Berselawat itu ganjarannya amat besar sekali iaitu diberikan sepuluh rahmat bagi setiap satu selawat yang dibacakan

Kedudukan Masjid Dalam Islam


Hadith :
Dari Uthman , r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang membina sesebuah masjid (atau surau) secara ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga.”

Riwayat Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Masjid dan surau menjadi pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam sama ada bagi mengerjakan ibadat, menuntut ilmu dan menerima nasihat pengajaran demi kebaikan dan keselamatan di dunia dan di akhirat
2. Ia usaha pertama dibuat semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah
3. Masjid perlu dimakmurkan dengan pelbagai program agar mendapat rahmat dan hidayah Allah sentiasa.

Menghormati Orang Yang Sedang Sakit


Hadith :
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".

Ibn Abbas r.a



Huraian
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".

Penjahat Kecil


Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqas) r.a katanya:”Sesungguhnya nabi s.a.w telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya ‘si penjahat kecil’.

(Muslim)



Huraian
Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim a.s semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

Dana Di Dunia Dan Akhirat


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”

Riwayat at-Tirmidzi



Huraian
1. Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain.
2. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.
3. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti aqidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredhaan Allah SWT.
4. Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

Allah Bersifat Lemah Lembut


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.”

Riwayat Muslim



Huraian
1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah.
2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya.
3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

3 Amalan Yang Berkat


Hadith :
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :”Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.”

(Bukhari)



Huraian
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).

Alamat Mimpi


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain.”

(Muslim)



Huraian
Setiap daripada kita pernah mengalami mimpi. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambuatan perayaan Idul Adha. Nabi Ibrahim a.s bermimpi, lalu baginda menceritakan hal mimpinya itu kepada anaknya, Ismail, "Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu. Bagaimana pendapatmu?" (as-Shaffat: 102). Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas. Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Diceritakan bahawa pada suatu hari nabi Yusuf mengkhabarkan kepada bapanya nabi Ya'qub,"Wahai bapaku, aku melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadaku." (Yusuf: 4). Ternyata mimpi ini membawa petanda baik bahawa nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang berkuasa dan bijak. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya.