IMAM BUKAN SEKADAR MENGIMAMKAN SOLAT


Kerajaan seharusnya memberi keutamaan untuk program yang dianjurkan masjid dan surau berbanding projek kebudayaan, sukan atau lainnya.
Peranan imam bukan sahaja dalam lingkungan masjid tetapi ianya suatu tugas agama dan sosial yang dapat meninggikan taraf masyarakat dari segi pengetahuan, ekonomi, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. Imam dapat memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka berada di institusi masjid yang masih mendapat penghormatan dan kepercayaan masyarakat. Kelesuan peranan masjid akan memberi kesan kepada masyarakat.
Selain memimpin kita solat dan mengajarkan kita ilmu agama, imam juga menyelesaikan permasalahan agama serta hidup bersama kita di kawasan kariah. Mereka banyak berjasa kepada mereka yang masih hidup dan yang meninggal dunia. Secara keseluruhan imam adalah pemimpin penghubung jemaah dengan al-Khaliq dalam beribadah secara berjemaah bahkan secara individu mengikut perintah syariah.
Menerusi solat berjemaah, setiap umat Islam mengetepikan segala bentuk perbezaan yang ada baik pangkat atau kedudukan dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu imam. Konsep ini juga diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sudah tentu dapat mewujudkan masyarakat bersatu padu.
Menerusi solat berjemaah juga mengajar umat Islam mengenai adab terhadap kepemimpinan seperti adab menegur kesilapan, adab menerima teguran dan adab menukar kepemimpinan.
Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menulis dalam bukunya yang bertajuk ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa Kini’ berpendapat ada beberapa faktor sampingan lain yang turut menjurus kepada permasalahan ini selain persoalan iman yang semakin terhakis.
Dr Yusuf berpendapat, umat Islam dekad ini terlalu asyik dan lalai dengan habuan dunia, ‘Kita’ digambarkan sebagai umat yang lupa diri dan saling berlumba-lumba untuk menikmati kebahagiaan dunia yang sebentar. Demi mencapai keseronokan yang sementara ini, secara tidak langsung, ‘kita’ turut sama melupakan Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman, bermaksud:
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah SWT, lalu Allah SWT melupakan dia pada diri mereka sendiri.” (al-Hasyr:19)
Tidaklah diturunkan kitab-kitab, diutus para nabi dan rasul kecuali untuk mengajak manusia kepada tauhid. Tidaklah ada seorang nabi dan rasul yang diutus kecuali ia akan mengajak umatnya untuk bertauhid. Bahkan tauhid juga merupakan tujuan dari penciptaan jin dan manusia. Inilah peranan Rasulullah yang utama yang patut menjadi objektif peranan kita sebagai imam yang membawa susuk tubuh Rasulullah iaitu mengajak manusia untuk bertauhid kepada Allah SWT.

Pada zaman Rasulullah SAW, kemajuan umat dan gerakan Islam, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas di bidang dakwah bahkan perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu dan pelbagai lagi.
Setibanya Baginda Rasulullah SAW di Madinah, Baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk Islam Madinah. Masjid dijadikan sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah SWT dan manusia sesama manusia. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya direalisasi oleh Rasulullah SAW melalui peranan dan fungsi masjid.
Hari ini untuk menjalankan kerja dengan lebih efektif dan cepat kita memerlukan beberapa prasarana bagi menjayakan tujuan. Pejabat atau bilik pengurusan masjid perlu dipertingkatkan dengan kemudahan dan maklumat semasa. Kemudahan dapat mempercepatkan kerja dan maklumat semasa dapat memberi panduan merancang dan membuat kerja.
Antara keperluan dan kerja yang perlu dimiliki atau dilakukan oleh masjid ialah:
1. Database kahiriah. Imam atau pihak masjid mestilah mempunyai senarai keluarga yang didaftarkan di mukim tersebut dengan mengumpul maklumat-maklumat nama, umur, pekerjaan, tanggungan dan keadaan sosial mereka supaya aenang bertindak apabila keadaan memerlukan.
2. Tabung khairat. Kekuatan kewangan dengan mampu memberi bantuan kepada masyarakat setempat. Tok Guru pernah mencadangkan supaya masjid mampu menggantikan bank di dalam membantu kewangan masyarakat.
3. Lawatan dan saling tukar pengalaman. Bila mana imam-imam dari negeri lain ke Kelantan, kita boleh melihat kebaikan dan kelemahan yang boleh dijadikan pedoman kita bila pulang ke tempat masing-masing. Kalau boleh ziarah ke Singapura dan Thailand bilamana umat Islam adalah minoriti maka kerja buat masjid akan berlipat kali ganda yang boleh kita pelajari.
4. Peribadi dan sahsiah perlu dipertingkatkan sejajar dengan pengetahuan semasa. Di setengah negara di Asia Barat dan Eropah, jawatan imam disyaratkan hendaklah berkelulusan Sarjana Muda(B.A) dari mana-mana fakulti Islam seperti kelulusan dari Al-Azhar dan yang menghafal al-Quran.

Hal ini kalau dikaji ada hubungan dengan taraf anak mukim yang terdiri dari mereka yang berpendidikan tinggi terdiri dari doktor, peguam, jurutera dan para profesional lainnya yang memerlukan Imam masjid juga mempunyai kelulusan yang membolehkannya menyelesaikan masalah semasa.
Namun demikian harus pula diingat, peranan yang besar mestilah sesuai dengan pendapatan yang patut diterima. Pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa agama mestilah memberikan gaji dan elaun kepada imam yang sesuai dan setimpal mengikut keadaan ekonomi semasa. Imam pula mestilah diberi pembantu-pembantu terutam kerani, hal ehwal wanita, belia dan seumpamanya. Masjid pula dilengkapi perpustakaan dan buku-buku rujukan.
Persoalan masjid dan imam tidaklah harus menjadi bahan menungan sampingan kalau kita benar-benar serius. Ia mesti turut dilibatkan para pemikir, ulama, perancang, para guru, dan mereka yang berada, juga media. Masjid mesti diberi keutamaan jauh lebih besar dari projek kebudayaan, sukan dan lainnya. Ia bukan sekadar tempat sembahyang, tetapi pusat segala kegiatan berfaedah.
Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung pada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan oleh imam dan jawatankuasa masjid. Lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

Azhar Mohammad
Kota Baharu, Kelantan
Sumber: Milenia Muslim
Keluaran September 2009 (Thn.7) bil.9

Tiada ulasan: