TAK SENANG LIHAT ORANG LAIN SENANG


Dalam menjalani kehidupan seharian, ada tabiat orang Melayu yang sukar dikikis iaitu sifat cemburu dan iri hati. Ada isteri cemburu bila mendapat tahu suaminya lebih mengutamakan adik-beradik kandung, Ada kalanya si abang cemburu melihat adiknya lebih berjaya dalam pelajaran mahupun perniagaan.
Ada jiran cemburu melihat rumah kita diubahsuai menjadi lebih besar dan cantik. Malah jika kita tukar kereta baru dan memiliki perabot mewah juga dipandang tidak senang oleh jiran kita. Mereka tidak senang meliat orang lain senang pada hal sebagai umat Islam, kita ada bahagian tertentu dalam menikmati rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Di pejabat juga berlaku sifat buruk itu. Ada yang geram dan iri hati melihat kawan sepejabat begitu disenangi bos. Malah lebih menimbulkan perasaan iri hati apabila ada pekerja yang lebih baru dan muda dinaikkan pangkat sedangkan pekerja yang sudah lama bekerja masih di takuk dan jawatan lama.
Walau apa pun tanggapan umum terhadap istilah cemburu, tabiat itu seharusnya ditangani dengan bijak agar tidak terlalu mempengaruhi proses kehidupan seharian.
Untuk mengurangkan rasa cemburu, kita perlu sentiasa bersikap rasional kerana cemburu terutama yang melampau sering kali dikaitkan dengan sikap individu itu sendiri yang tidak dapat berfikir secara bijak dan waras. Apa yang penting sekiranya menghadapi masalah cemburu ini, kita mesti berfikir dengan tenang supaya dapat menerima hakikat siapa diri kita yang sebenar. Adakah kita sudah cukup berilmu dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Jika ini berjaya dilakukan, perasaan cemburu dapat diredakan.
Sekiranya ibu bapa menyedari anak jirannya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, mereka akan memastikan anaknya juga boleh berjaya malah lebih cemerlang lagi.
Cemburu sebegini boleh membawa unsur-unsur positif dalam hidup seseorang sehingga lebih berjaya jika mampu mengawal perasaan dengan menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang sewajarnya. Cemburu juga boleh mendorong seseorang itu berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan hasrat dan cita-citanya tercapai.

Asmaliza Ar,
Johor Bahru, Johor
Sumber: Milenia Muslim
Keluaran September 2009 (thn.7) Bil.85

Tiada ulasan: