Kisah Pejuang Palestin : Izzudin Al-Qassam
Kisah Pejuang Palestin : Izzudin Al-Qassam
by Leia Az-Zahra Justin Abdullah on Monday, October 4, 2010 at 7:50am
Nama lengkap beliau adalah MUHAMMAD IZZUDDIN ABDUL QADIR AL QASSAM. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jabalah, Syria. Datang dari keluarga yang kuat berpegang kepada Islam. Bapanya seorang guru Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafal al-Quran. Dia pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun dan di sana dia belajar daripada tokoh terkenal, Sheikh Muhammad Abduh. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah.
Sheikh Al Qassam adalah seorang imam, guru dan juga sheikh Tareekat Ash-Shazaliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat.
Semasa perang dunia pertama, dia mengambil bahagian secara aktif dalam Revolusi Syria memerangi penjajahan Perancis. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920.
Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau yang hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah besar di bumi Palestin.
Izzudin Al Qassam datang ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan jahat Yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29-30hb Ogos 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara nasional untuk orang Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya. Sheikh Izzudin juga melihat penghijrahan orang Yahudi secara besar-besaran ke bumi Palestin dan para pemuda Yahudi bersenjata datang dari pelbagai penjuru dunia untuk merebut tanah dengan kekerasan mahupun dengan pujuk-rayu.
Di Haifa dia tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An Nasr. Beliau kemudiannya bertugas di Masjid Al Istiqlal iaitu masjid terbesar di Haifa pada masa itu. Pada tahun 1927 dia mendirikan pejabat cawangan Jam’iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan pemuda Muslim) di Kota Haifa dan beliau sendiri bertindak sebagai pemimpinnya.
Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun ada sebahagian daripada mereka yang mempunyai pendapat yang aneh. Ada di antara mereka yang bepandangan bahawa cukup untuk menghadapi mereka dengan demonstrasi dan sebahagiannya mengatakan cukup dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian permasalahan ini.
Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali identiti mereka, mengadakan pembinaan, latihan organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan mereka. Dalam tempoh tersebut beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariah dan ketua pergerakan. Hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat juga mengizinkan beliau memiliki dana kewangan.
Perjuangannya sangat menitikberatkan kepada tiga perkara utama:-1. Kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi secara berterusan.2. Ajakan untuk berjihad.3. Memilih orang-orang yang berkualiti dan dibekalkan dengan pemikirian yang benar serta kemahiran ketenteraan.
Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Pada tahun 1935, Izzudin Al Qassam dalam usianya yang telah mencapai enam puluh tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Dia mengumpulkan anggota keluarganya untuk memberitahukan niatnya dan menjanjikan keazaman untuk berjumpa dengan mereka di syurga kelak.
Pasukan Inggeris dengan senjata yang lengkap dan dibantu dengan pesawat tempur telah menyerang pasukan Izzuddin Al-Qassam di Ya’bad. Dalam pertempuran tersebut Izzuddin Al-Qassam gugur sebagai syahid bersama dua orang pejuang lainnya pada 20hb November 1935.
Orang-orang Palestin di seluruh negara melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah as Syahid Izzudin al Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan orang ke makam di kampungnya. Kesyahidan tiga pejuang tersebut telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan permogokan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.
Jasa Sheikh Izzuddin Al Qassam sentiasa dikenangi oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin malahan sebuah sayap ketenteraan HAMAS (Harakah Muqawamah Islamiyah), mengabadikan namanya dalam unit dan bendera mereka.
Berbicara mengenai tradisi pergerakan Islam moden dan sejarahnya, nama Izzudin Al Qassam tidak dapat dipisahkan; beliau memiliki cara yang tersendiri dalam pembinaan generasi Islam dengan menggunakan pendekatan pendidikan, kesiap-sagaan, organisasi dan jihad. Jika diamati lagi, dalam aliran pergerakan Islam terdapat seorang tokoh besar yang mempunyai kaedah pergerakan yang pelbagai dan dia adalah salah seorang tokohnya.
Oleh:Zainur Rashid Zainuddin.ISMA Negeri Sembilan
• Mohsein M.Soleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation. Cairo 2005.• Mohsein M.Soleh. Kertas Kerja Seminar Isu Palestin. TTS, Kuala Lumpur 2005• Muhammad Sa’id Mursi. Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang sejarah. Versi Indonesia Pustaka Al kauthar, Jakarta 2007• Mustafa Muhamad Tahhan. Tokoh Pergerakan Islam masa kini. Al Hidayah Publishers, Kuala Lumpur 2002• Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co. Kuwait. 2006.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan