Menghayati


Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis”


(at-Tabrani)



Huraian
1. Perasaan khusyuk, takwa dan kehambaan kepada Allah S.W.T hendaklah dipupuk di dalam jiwa setiap individu Muslim. Ini dapat dicapai melalui pembacaan (tadabur) al-Quran, mengerjakan sembahyang, dan merenung (tafakur) tentang kejadian makhluk Allah di muka bumi ini.
2. Orang yang alim dan mempunyai sifat mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang akan tersentuh hatinya sebaik sahaja membaca atau mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Begitu juga mereka akan terharu dan merasai keagungan Allah Yang Maha Besar apabila terpandangkan ciptaan-Nya yang begitu cantik dan mengagumkan.
3. Segalanya ini adalah tanda-tanda kemanisan dan kelazatan iman yang sebenarnya dan hanya dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup iaitu hati yang sentiasa digilap dengan nur keimanan serta jauh daripada dosa dan maksiat. Inilah mukmin sejati di mana mata, hati dan seluruh anggotanya dikawal oleh akal yang mendapat hidayah daripada Allah. Ia tidak mati tapi sentiasa menghayati sebagaimana yang dianugerahkan kepada para rasul, wali dan salafussoleh yang mencintai Allah.

Tiada ulasan: