Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Ali r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.
ii) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

Pemimpin Jangan Mementingkan Diri Sendiri


Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? “Baginda s.a.w. menjawab, “ hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.”

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Setiap tanggungjawab yang telah ditugaskan kepada seseorang hendaklah dilaksanakan sebaik-baiknya.
2. Apabila terdapat dikalangan pemimpin yang menyeleweng daripada garis kebenaran, sebagai rakyat mreka hendaklah berusaha menegur supaya pemimpin tersebut kembali ke pangkal jalan disamping memohon doa kepada Allah S.W.T.
3. Adalah tidak wajar bagi rakyat atau orang bawahan terus menunjukkan sikap penentangan tanpa mengemukakan sebarang pandangan, teguran dan fikiran yang berfaedah terlebih dahulu.
4. Semua pihak hendaklah sentiasa berusaha supaya jurang pemisah antara pemerintah dan rakyat sentiasa harmoni, tidak berlaku sebarang keretakan dan kekurangan.

Bersabar Dalam Berdoa


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”

(Muslim)



Huraian
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik. Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah: “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Berbohong Satu Pengkhianatan



Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.”

(Abu Daud)



Huraian
1. Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.
2. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafiq.
3. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

Tiada Tertanding Dan Tidak Sebanding



Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w, baginda bersabda:”Allah berfirman:”Aku telah menyediakan untuk hamba-Ku yang soleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernh telinga mendengar dan belum pernah teringat (terlintas) dalam hati manusia.”

(Bukhari)



Huraian
Hidup adalah satu perjuangan yang ada pahit dan getirnya. Ini berpadananlah dengan balasan syurga yang teramat indah bagi mereka yang telah berjaya menghadapi segala ujian Allah itu. Ingatlah...Tiada permaidani merah untuk hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman di mana dengan cabaran dan ujian getir yang diberikan itu akan menjadikan keimanan seseorang semakin bertambah kerana nilaian Allah amat tinggi buat hamba-NYA iaitu mereka yang sanggup berkorban nyawa, harta dan tenaga demi agama-NYA

Jalan Ke Syurga

Hadith :
Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”

(Muslim)



Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Dagang Di Dunia

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...”

(Al-Bukhari)



Huraian
Seorang Muslim Hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan. Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.