Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan


Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.
2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud :Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka


Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”

(al-Bukhari dan muslim)



Huraian
Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

Disunatkan Berbuka Sebelum Mengerjakan Solat Maghrib


Hadith :
Dari Anas r.a ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila makan malam (berbuka) telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).

-



Huraian
1. Umat Islam hendaklah menyediakan juadah makan malam terutama untuk berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana, dan juadah janganlah terlalu banyak sehingga mendatangkan pembaziran.
2. Apabila hidangan sudah disediakan untuk berbuka maka kita adalah disunatkan makan terlebih dahulu sebelum menunaikan sembahyang fardhu Maghrib kerana dengan berbuka kita dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga, dan dapat menunaikan sembahyang dengan rasa bertenaga dan selesa.

Tidak Mendapat Pahala Puasa Selain Dari Lapar Dan Dahaga


Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”

(al-Bukhari)



Huraian
1. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.
2. Puasa yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.
3. Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula.

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

-



Huraian
Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa


Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.

(At-Tirmidzi)



Huraian
1. Umat Islam yang berpuasa Ramadhan digalakkan melakukan amal soleh sebanyak mungkin seperti bersedekah, menolong orang yang susah, memberi atau menjamu makanan bagi orang yang berpuasa dan sebagainya kerana sedekah yang paling afdhal ialah bersedekah di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan.
2. Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu segala perkara yang dapat melahirkan persefahaman, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain tidak pernah diabaikan.

Sunat Berbuka Dengan Kurma


Hadith :
Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.

(Abu Daud dan at-Tirmidzi)



Huraian
1. Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.
2. Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
3. Hikmah disunatkan kita berbuka dengan tamar ialah kerana kurma dipercayai mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga dipercayai kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Kandungan protein di dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2.0%, serat 2.0 hingga 4.0% manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57%.
4. Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah, kemudian beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW akan diberi ganjaran pahala di akhirat serta mendapat nikmat dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.

Puasa Yang Berkat


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”


Riwayat Ibnu Majah



Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.
ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.
iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.
v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Bezakan Puasa Dengan Orang yahudi Dan Nasrani


Hadith :
Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.”

(Muslim)



Huraian
1. Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu.
2. Ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam juga telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, cuma terdapat beberapa perbezaan :
i. Orang-orang Islam menyegerakan berbuka puasa sedangkan orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Agama akan sentiasa tampak syi'arnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera (tepat pada waktunya), sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambatkannya.
ii. Disunatkan bagi orang Islam yang berpuasa makan sahur sebelum masuknya waktu subuh kerana dengan makan sahur boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.
3. Umat Islam hendaklah berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan tidak mengerjakannya kerana menganggap bahawa ia adalah suatu tradisi (ikut-ikutan). Bahkan apa sahaja ibadat yang dilakukan perlu dilakukan dengan ketaatan dan kesedaran tentang kewajipan untuk mengerjakannya.

Doa Ketika Melihat Anak Bulan


Hadith :
“Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a. bahawa nabi SAW, apabila baginda melihat anak bulan baginda membaca doa yang bermaksud: “Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah S.W.T. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan.

(at-Tirmidzi)



Huraian
1. Bulan merupakan kejadian Allah yang sangat berguna. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal Ramadhan serta dapat membuat penentuan ke atas amal ibadat yang hendak dilakukan dari masa ke semasa.
2. Kalender Hijriah (Islam) terdiri dari dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jumadil awal, Jumadil akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
3. Islam sangat menggalakkan umatnya agar membaca doa apabila melihat sesuatu nikmat atau mendapat rahmat Allah, sama ada secara langsung ataupun tidak. Contohnya, apabila melihat anak bulan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Khusyuk Yang Terganggu


Hadith :
Diriwayatkan dari Aisyah katanya:”Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, nabi berkata:”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku.”

(al-Bukhari)



Huraian
Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang ada gambar (bergambar). Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta'ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta'ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

Keyakinan dalam Berdoa


Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Rasulullah saw bersabda:”Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah:”Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.”

-



Huraian
Sesorang muslim itu hendaklah bersemangat (untuk mencapai) apa yang bermanfaat untuk dirinya serta meminta pertolongan kepada Allah tanpa merasa lemah dan putus asa. Berdoa mestilah mengikut adab-adabnya supaya menampakkan kesungguhan harapan untuk mendapatkan sesuatu kerana Allah SWT hanya akan menerima doa dari orang yang betul-betul berhajat.

Sunnah rasul


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:”Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dahulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dahulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka.”

(al-Bukhari)



Huraian
Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik dalam segenap aspek tatacara hidup seorang Muslim sama ada dari segi tutur katanya, tingkahlakunya, ibadahnya dan lain-lain lagi. Baginda mengajar kita adab sopan yang sepatutnya yang membezakan kita dengan penganut agama yang lain. Walau sekecil manapun sesuatu itu, terdapat banyak hikmah tertentu yang baik dari segi agama mahupun ilmu perubatan yang melaluinya jelas membuktikan akan kebenaran agama Islam selaku agama fitrah yang sesuai bagi seluruh umat manusia.

Harapan Ramadhan - Raihan feat. Man Bai

Sempurnakan Hari Dengan Keberkatan


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

Abu Hurairah r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan diberkati oleh Allah S.W.T.
Ii) Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding pada bulan-bulan yang lain.
Iii) Umat Islam diseru agar tidak mensia-siakan keberkatan di bulan ini ,malah sewajarnya merebut peluang yang ada dengan menambahkan lagi ibadat dan amal kebajikan.
iv) Bersempena dengan kemuliaan bulan ini juga umat Islam ditegah daripada mendekati perkara yang dilarang dan mungkar kerana pada bulan ini rahmat dan kasih sayang Allah amat luas sehingga orang-orang yang telah dijanjikan neraka sekalipun akan dibebaskan oleh Allah dengan berkat kebaikan yang dilakukannya.

Mati Dalam Perbuatan Syirik


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya”

Riwayat Hadith At-Tarmizi



Huraian
1. Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.
2. Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.
3. Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.

Salam Kata Pengantar~... (^_^)

Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuhu,



Kepada rakan-rakan, sahabat handai, pengunjung setia dan saudara serta saudari sekalian. Terima kasih diatas kesudian anda meluangkan masa bagi melawati laman 1HIDAYAH.blogspot.com ini bagi bersama mendapatkan ilmu dan pengetahuan serba sedikit tentang hadis sahih dari Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.


Saya sekali lagi bagi pihak penulis utama mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan anda menjayakan program ini. Sebagai penulis kedua, saya amat berharap kepada anda supaya tidak letih dan jemu bagi mengejar kejayaan dunia dan akhirat supaya kita sentiasa didalam rahmat keberkatannya didalam kehidupan yang serba mencabar pada hari ini.


Saya juga ingin bersama mengajak anda menggalakkan setiap dan segala pengetahuan islam ini disebar terus menerus agar ianya tidaklah ditinggalkan sekadar penulisan sahaja. Ia adalah sebuah ilmu pengetahuan yang cukup mendalam dan ianya juga menjadi inspirasi kehidupan yang lebih harmoni dan aman.


Bagi setiap manusia yang hidup pada zaman ini, tanggungjawab dan kesibukan menjadi isu utama bagi mereka sebagai beban yang menganggau fikiran dan hak asas kehidupan harian. Sehinggakan mereka lalai dan sanggup meninggalkan segala tanggungjawab sebenar sebagai seorang hamba Allah. Bagi kehidupan seperti saya, ini tidaklah menjadi satu isu harian malah ianya menjadi sebuah tanggungjawab yang lebih berat yang perlu ditangani oleh setiap insan yang hidup pada zaman ini.


Kejatuhan moral dan akhlak adalah sebuah bebanan yang cukup besar bagi mereka yang menjaga kepentingan hak agama dan kehidupan yang sempurna dan baik. Tidak salahlah jika menjadi sesebuah perkara itu secara sedar atau tidak disedari. Malah lebih teruk lagi apabila kita mendapati bahawa yang tergolong didalam aspek ini adalah salah seorang dari ahli keluarga itu sendiri.


Tanggapan ini telah pun terjawab dan sudah mempunyai jawapan yang cukup sempurna didalam Agama Islam. Sebagai rujukannya adalah seperti contoh Hadis Rasulullah dan Al-Quran Karim. Mengapa perlu kita menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sehingga menjadi perbalahan dan pergaduhan. Seharusnya perkara ini dilihat dahulu sepertimana didalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


“Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya.”


Abu Daud dan at-Tirmidzi


Masih diantara kita yang tidak memikirkan tanggungjawab mereka dalam mengatasi masalah ini, ada diantaranya malu untuk bertindak dewasa setelah mengetahui bahwasanya mereka mempunyai tanggungjawab yang penting dalam menjaga seisi kehidupan yang mereka tanggungi. Bukanlah niat saya untuk menyinggung, tetapi masaalah ini seharusnya dipelajari dari kecil dan ianya akan terbentuk apabila tiba zaman dewasanya.

Itulah yang berkaitan dengan hadis diatas. Maksud saya, membendung dan mempelajari serta mengajari sewaktu dari permulaan pembentukan keluarga. Salah dari isinya adalah silap dari pokoknya, dan bagaimana ia dijaga. Fikir-fikirkanlah perkara ini sedalamnya bagi mereka yang waspada dan ingin melakukan perubahan untuk masa hadapan.


Sesudah mencuba pasti akan melihat perubahannya. Tetapi kadang-kadang ada diantara kita yang cuba ingin melihat ia berubah sekelip mata, sedangkan bayi yang baru cuba berjalan masih lagi mencuba dengan beberapa percubaan yang pasti akan keletihannya.


Dimanakah permulaan dewasa seseorang manusia itu jikalau dilihat dari aspek umur dan kategori. Bagi seorang lelaki, umurnya dikira dewasa sejak ia pandai melihat akan keburukan dan kebaikan lalu dibezakannya. Bagi seorang wanita dewasa apabila kematangan pendiriannya menjadi dua, malu untuk melakukan dan bijak untuk memilih.


Aspek ini juga dipandang dari segi psikologinya yang dilihat secara rawak di Malaysia. Bagi sesetengah penduduk di negara ini masih lagi jahil dalam pemilihan jalan hidup mereka yang sebenar. Bukanlah niat saya untuk berkata begitu, tetapi jika nak dibandingkan dengan Indonesia juga Australia, kita tidaklah begitu besar dan rakyatnya juga tidaklah mencecah berbilion penduduk seperti di Amerika dan negara yang lain tidak termasuk Brunei dan Singapura bagi negara yang terhampir.


Nilai kehidupan agama kita sepatutnya diselarikan sehingga majoriti dari kita menjadi lebih sepadan dan memahami kehidupan sebenar itu dengan lebih teliti dan terbuka. Supaya tidaklah berlaku disini pertikaian fahaman dan perbalahan pengasingan (agama, bangsa dan mentaliti).


Jadi dengan ini, ayuh bersama kita menegakkan yang hak dan yang terbaik bagi pemikiran dan pandangan masyarakat. Kerana jika kita masih lagi memihak kepada yang bukan hak, kita masih lagi dalam keraguan dan ketakutan. Kerana yang hak itu tidak pernah menjuruskan manusia itu kepada kebatilan dan kejahilan.


Sekian, terima kasih diatas kesudian anda membaca sedikit sebanyak perangsang dari saya.


Dengan itu apa yang baik itu adalah dari-NYA, dan yang kurang itu adalah dari kesilapan saya sendiri. Harapan saya sebagai penulis, bersamalah menjayakan setiap program amal kebaikan supaya kita dapat bersama berkongsi kejayaan didunia dan diakhirat sana.


Wassalam...


Yang tulus,


PENULIS Ke-2

Menjaga Imej Agama


Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ”

Riwayat at-Tabrani



Huraian
1. Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.
2. Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.
3. Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

Sikap Yang Baik


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.”

Riwayat Muslim



Huraian
i) Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.
ii) Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya.
iii) Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Keguguran Dan Cara Mengurus


Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Anak yang mati keguguran disolatkan dan didoakan bagi kedua orang tuanya agar memperolehi keampunan dan rahmat.”


Riwayat Abu daud dan at-Tirmidzi



Huraian
1. Sekiranya berlaku keguguran dan bayi yang meninggal telah berumur 120 hari (4 bulan), maka ia perlu diperlakukan seperti mengurus jenazah biasa.
2. Dalam menguruskan jenazah kita hendaklah mengikut cara-cara yang sesuai dengan syariat Islam iaitu memandikannya, mengafankannya, solat dan menguburkan. Tetapi bagi bayi yang keguguran, jika tidak dapat dimandikan, cukuplah dengan mengafankan, solat dan menguburkan sahaja.
3. Manakala doa yang dibaca dalam solat jenazah itu ialah doa untuk kedua ibu bapa bayi yang meninggal itu bukan untuk bayi yang meninggal itu sendiri.

Setiap Penyakit Ada Penawarnya


Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”

(Abu Daud)



Huraian
1. Setiap penyakit ada ubatnya, jika bersesuaian ubat tersebut, maka ia akan sembuh dengan izin Allah S.W.T.
2. Meskipun Islam mengharamkan penggunaan bahan-bahan tertentu seperti najis, air kencing, alkohol dan sebagainya untuk tujuan perubatan namun terdapat keadaan di mana seseorang itu diberi keharusan (rukhsah) untuk berbuat demikian iaitu bilamana berada dalam peringkat darurat (kecemasan) dan tiada lagi ikhtiar-ikhtiar lain yang boleh dilakukan. Atau dengan lain perkataan diharuskan untuk yang terpaksa.
3. Dalam masalah ini pengambilan benda-benda yang haram sebagai ubat hendaklah sekadar perlu sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang menimpa. Manakala rawatan tersebut mestilah dikendalikan oleh seorang doktor Muslim yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.
4. Rukhsah ialah hukum keringanan yang disyari'atkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) manakala pengertian darurat pula ialah kesusahan yang memudaratkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya.
5. Selaku seorang Islam kita diwajibkan berikhtiar untuk mendapatkan rawatan yang halal dan menjauhi perkara yang haram apalagi yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui


Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta kerana Allah mengatakan:’Pemandangan tidak sampai kepada-Nya”. Dan sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui hal yang ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan mengatakan:”Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah.”

(Muslim)



Huraian
Sesungguhnya segala yang sabit wujudnya di alam maya ini adalah lebih luas daripada apa yang dapat dicapai dengan pancaindera mahupun peralatan canggih ciptaan manusia. Demikian fahaman akal manusia yang pendek dan terbatas. Dengan itu ternyata bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib dengan jalan akal yang tenaganya terhad dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata, adalah suatu usaha yang sia-sia, yang sudah tentu akan menemui kegagalan. Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia sebenarnya ialah untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai kemakmuran dan kemakmuran hidup di dunia dan akhirat, bukan digunakan pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya yang akhirnya menyebabkan berlakunya kesesatan.

Catatan Amal Hingga hari Akhirat

Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."

Ammaar bin Yasir r.a



Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap umat Islam dalam setiap masa.
Ii) Ia sebagai menandakan ingatan, cinta dan kasih terhadap baginda di mana jasa dan pengorbanan baginda amat besar sekali terhadap Islam dan perkembangannya.
Iii) Orang yang tidak membiasakan dirinya dengan berselawat adalah dianggap sebagai orang yang tidak mengenang budi (tidak menyanjung) baginda sehinggakan syarak melabelkan mereka sebagai orang yang bakhil.
iv) Disebabkan besarnya fadhilat berselawat tersebut, maka Allah S.W.T telah menetapkan malaikat yang khusus bertugas sebagai penyampai selawat yang diucapkan terus kepada baginda.

Catatan Kebaikan Dan Kejahatan


Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu."

Abu Hurairah r.a



Huraian
i) Setiap umat Islam digalakkan membanyakkan bacaan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w
ii) Maksud berselawat itu ialah berdoa memohon supaya Allah S.W.T melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada baginda .
iii) Berselawat itu ganjarannya amat besar sekali iaitu diberikan sepuluh rahmat bagi setiap satu selawat yang dibacakan

Kedudukan Masjid Dalam Islam


Hadith :
Dari Uthman , r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang membina sesebuah masjid (atau surau) secara ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga.”

Riwayat Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Masjid dan surau menjadi pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam sama ada bagi mengerjakan ibadat, menuntut ilmu dan menerima nasihat pengajaran demi kebaikan dan keselamatan di dunia dan di akhirat
2. Ia usaha pertama dibuat semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah
3. Masjid perlu dimakmurkan dengan pelbagai program agar mendapat rahmat dan hidayah Allah sentiasa.

Menghormati Orang Yang Sedang Sakit


Hadith :
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".

Ibn Abbas r.a



Huraian
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".

Penjahat Kecil


Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqas) r.a katanya:”Sesungguhnya nabi s.a.w telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya ‘si penjahat kecil’.

(Muslim)



Huraian
Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim a.s semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

Dana Di Dunia Dan Akhirat


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”

Riwayat at-Tirmidzi



Huraian
1. Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain.
2. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.
3. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti aqidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredhaan Allah SWT.
4. Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

Allah Bersifat Lemah Lembut


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.”

Riwayat Muslim



Huraian
1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah.
2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya.
3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.