Antara Sabar dan Mengeluh


Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”

Riwayat al-Hakim



Huraian
1. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.
2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.
3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:”Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah:6)
5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Musuh Jangan Dicari, Jika Bertemu Pantang Mundur

Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata:”Nabi SAW bersabda:”Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Dalam kehidupan ini sebagai manusia kita sering berhadapan dengan perkara yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Oleh itu hendaklah kita sentiasa berhati-hati dan jangan sengaja melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan orang lain atau dengan perkataan lain jangan kita sengaja mencari musuh kerana ia menunjukkan sikap orang yang sombong dan bongkak. Namun jika ditakdirkan kita bertemu dengan musuh maka bertahanlah dan jangan mudah menyerah kalah. Bersabarlah dan mohonlah kekuatan daripada Allah SWT semoga kita berada di pihak yang benar.

Tiada Warisan Dalam Harta Rasulullah Saw


Hadith :
Aisyah r.a menerangkan:”Bahawasanya isteri-isteri Nabi SAW di waktu Rasulullah telah wafat mahu menyuruh Uthman berjumpa dengan Abu Bakar untuk meminta pusaka mereka kepadanya. Kerana itu berkatalah Aisyah:”Apakah Rasulullah SAW tidak menyatakan:”Kami tidak meninggalkan warisan, apa yang kami tinggalkan adalah sedekah.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Antara hikmah mengapa harta peninggalan Rasulullah SAW tidak dijadikan sebagai pusaka adalah supaya tiada tuduhan bahawa baginda mengumpulkan harta untuk kepentingan keluarga baginda. Sedangkan baginda adalah pemimpin umat maka harta baginda adalah dianggap sebagai sedekah untuk orang umum. Hanya mereka masing-masing (waris-waris) mengambil daripada harta itu sekadar keperluannya dan harta itu dipegang dan diuruskan oleh para penguasa.

Menjadi Saksi Allah


Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Suatu arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. “Ya, pasti.” Berkata rasulullah s.a.w. menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula:”Mayat yang jahat.” Berkata Rasulullah saw.:”Ya, pasti!” Maka bertanya Umar bin al-Khattab:”Apakah yang pasti ya Rasulullah?” jawab baginda:”Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke naraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.”

(Bukhari)



Huraian
Salah satu fakta terbesar dalam hidup manusia adalah kepastian akan berpisahnya seseorang itu dengan segala apa yang dimilikinya di dunia ini. Ajal adalah suatu yang tidak mampu dielak. Dan kematian itu adalah kejadian yang tepat pada waktunya tetapi sayang, kebanyakan manusia selalu merasa akan hidup seribu tahun lagi. Seharusnya kita hendaklah sentiasa beringat sebelum datangnya Malikulmaut menjemput untuk pulang, perbanyakanlah amal ibadat dan jauhkanlah segala tegahan serta lakukan apa yang disuruh. Namun sekiranya larangan juga yang dikerjakan maka dalam nerakalah seseorang itu akan dicampakkan dan manusia menjadi saksi di atas segala perbuatan jahat yang dilakukannya itu. Sesungguhnya juga Allah tidak memandang darjat seseorang itu melainkan berdasarkan banyak atau sedikitnya amalan yang dilakukan sehingga melayakkan dia menerima nikmat di akhirat kelak. Oleh itu jangan kita lupa untuk mengingati mati.

Sumber Yang Haram


Hadith :
Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Jika engkau menjual buah-buahan (yang masih di pokok/kebun), lalu buah-buahan itu rosak dimakan hama, maka tidak halal bagimu menerima pembayaran kerana bererti engkau mengambil harta saudaramu tanpa hak.”

(Muslim)



Huraian
Mu'amalat adalah merujuk kepada segala urusan yang berkaitan dengan harta ( mal ). Islam memperincikan pengurusan harta agar ia menepati kehendak sebenar dan menjamin hak setiap individu demi mengelak penindasan dan penipuan disamping membentuk jati diri seperti jujur, amanah, adil dan telus. Sesungguhnya syariatlah yang memandu kita agar tidak tersasar dari sikap tamak, rakus dan haloba kerana tidak ada jaminan bahawa kita mampu mengawasi nafsu yang memang fitrahnya mencari dan mengejar keuntungan semata-mata.

Suami Yang Bertanggungjawab


Hadith :
Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa rasulullah s.a.w pernah bersabda:’Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.”

(al-Bukhari)



Huraian
Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya. Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (an-Nisa: 34)

Mensyukuri nikmat


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.”

Riwayat Tabrani



Huraian
i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.
ii) Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.
iii) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.

Melampau Dalam Berduka


Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya:”Saya berlepas daripada orang yang Rasulullah berlepas diri daripadanya. Rasulullah saw berlepas diri daripada orang-orang yang berkabung dengan berteriak-teriak, mencukur kepala dan mengoyak-ngoyak baju.”

(Bukhari)



Huraian
Islam mengharamkan setiap muslim mengikuti tradisi jahiliah yang apabila ditimpa masalah kematian contohnya, mereka meratap, berteriak secara berlebih-lebihan dan melahirkan kedukaan yang melampau-lampau. Sebaliknya Islam mengajar ummatnya, bahawa kematian itu hanyalah perpisahan sementara, bukan musnah sama sekali kerana manusia bakal dibangkitkan semula di hari akhirat kelak. Sedangkan tangisan itu sama sekali tidak dapat menghidupkan orang yang sudah mati dan tidak juga dapat menolak takdir Allah. Oleh sebab itu, setiap muslim harus menerima sesuatu kematian itu sebagaimana halnya menerima musibah, iaitu harus banyak bersabar, mengawal perasaan dan memohon keredhaan Allah serta mengambil pengajaran daripadanya di samping mengharapkan pertemuan abadi di akhirat kelak. Kita juga digalakkan mengulang-ulang menyebut kalimah ‘inna lillah wainna ilaihi raaji'un’ yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali”.

Kepimpinan


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”

Riwayat Muslim



Huraian
i) Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.
ii) Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.
iii) Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.
iv) Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.

Tarikan Ke Neraka Dan Rintangan Ke Syurga


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”

(al-Bukhari)



Huraian
1. Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.
2. Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.
3. Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqomah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka.atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Kebesaran Allah Dalam Penciptaan Manusia


Hadith :
Dari Ubai bin Ka'ab r.a katanya:…."Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda s.a.w menjawab: "Sekadar mana yang engkau suka;" Aku berkata: "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku;" Baginda s.a.w bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku;" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa ku;" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan;" Baginda s.a.w bersabda: "Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbingkanmu, sama ada perkara dunia mahupun perkara akhirat, dan diampunkan dosamu….."

Ubai bin Ka'ab r.a



Huraian
Dari Ubai bin Ka'ab r.a katanya:…."Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda s.a.w menjawab: "Sekadar mana yang engkau suka;" Aku berkata: "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku;" Baginda s.a.w bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku;" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa ku;" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi maka itu lebih baik untukmu;" Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan;" Baginda s.a.w bersabda: "Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbingkanmu, sama ada perkara dunia mahupun perkara akhirat, dan diampunkan dosamu….."

Memberi Ketika ada


Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun dari kami yang benar-benar mempunyai kelebihan”

Riwayat Muslim



Huraian
1. Islam menggalakkan umatnya supaya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang-orang yang susah dan orang-orang yang memerlukan bantuan sama ada dari segi harta benda, kewangan dan sebagainya.
2. Hikmah bersedekah ialah untuk mengelakkan daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persudaraan didalam Islam.
3. Bagi golongan yang kaya yang mempunyai harta kekayaan yang banyak digalakkan bersedekah dengan memberi bantuan makanan kepada golongan yang amat memerlukan, bantuan basikal untuk kanak–kanak kesekolah atau apa-apa sumbangan yang diperlukan bagi meraka yang amat memerlukan.

Bacalah ‘zahrawain’


Hadith :
Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir). ”

(Muslim)



Huraian
Al Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

Usah Pentingkan Diri Sendiri


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).”

(Muslim)



Huraian
Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.

Pagar Diri Dari Maksiat


Hadith :
Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.”

(Muslim)



Huraian
Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)

Amalkan Membaca Al-quran


Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta di tambatannya.”

(Muslim)



Huraian
Membaca al-Quran merupakan ibadah yang paling utama sesudah amal-amal fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah. Sesiapa yang meninggalkannya kerana keangkuhannya, nescaya Allah akan membinasakannya. Dan sesiapa yang mencari petunjuk pada selain-Nya, maka Allah akan menyesatkannya. Oleh itu kita diingatkan agar jangan melupakan al-Quran yang dibaca (diingat atau dihafal) kerana nabi s.a.w pernah bersabda: "Seburuk-buruk orang di antara kamu ialah yang mengatakan,"Aku lupa ayat ini dan itu," tetapi sebenarnya dia melupakannya. Hafallah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat perginya dari dada kaum lelaki daripada unta (yang terikat)." (Syaikhan dan at-Tirmidzi). Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: “Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"Maka berkata al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu al-Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membacanya mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangannya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya yang muslim pula diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Jangan Suka Memberontak Dan Menentang


Hadith :
Ibnu Abbas r.a menerangkan, bahawasanya Nabi SAW bersabda:”Sesiapa yang tidak menyenangi kepala pemerintahannya hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya orang yang keluar dari mentaati pemerintahan nescaya dia mati sebagaimana mati di masa jahiliyah.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Rasulullah SAW melarang kita daripada bertindak menentang penguasa dan melakukan pemberontakan terhadapnya. Ini disebabkan perkara tersebut akan menjadikan kita dilabel sebagai pendurhaka dan kematian kita disamakan seperti matinya orang-orang jahiliyah iaitu mati dalam keadaan bercerai berai dan tidak mempunyai kesatuan. Lagi pula penentangan kita itu akan menimbulkan fitnah dan kekacauan, merosakkan kerukunan masyarakat dan boleh mengakibatkan pertumpahan darah (pergaduhan dan perkelahian). Jumhur ulama’ berpendapat bahawa sekalipun seseorang pemerintah atau ketua itu berlaku fasik, namun kita tidak boleh mengambil jalan mudah terus memecatnya dari kedudukannya. Wajib ke atas kita melakukan apa yang diperintahkannya asal saja ia bukan perkara yang berbentuk maksiat dan melanggar syarak. Dalam konteks sebuah negara Islam, kita umat Islam hendaklah mempamerkan sikap yang baik terutamanya kepada yang mereka yang bukan Islam kerana Islam menyuruh kita supaya hidup bersatu padu, bertoleransi, musyawarah dan bekerjasama dengan pemerintah. Sekiranya ada tindakannya yang kurang wajar maka kita harus bersabar dan memilih jalan penyelesaian yang paling selamat demi keamanan negara dan kesejahteraan umat sejagat.

Maher Zain - Open Your Eyes

Maher Zain - Palestine Will Be Free | ماهر زين - فلسطين سوف تتحرر

Jihad Kaum Wanita


Hadith :
Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”

(al-Bukhari)



Huraian
Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.

Mengerjakan kewajipan


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Usaha yang halal adalah suatu yang fardhu selepas fardhu-fardhu yang lain.”

Riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi



Huraian
1. Minat untuk mempelajari sesuatu bidang kemahiran merupakan usaha yang terpuji kerana ia adalah daripada keharusan yang mesti diceburi bagi mendapatkan ilmu.
2. Agama Islam dengan prinsip-prinsipnya yang syumul dan syariat-syariatnya yang sempurna memandang mulia terhadap satu-satu pekerjaan dan memuliakan para pekerja serta usaha yang dikerjakan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
3. Demikian pula Islam amat membenci orang yang malas dan suka membazirkan masa tanpa melakukan apa-apa pekerjaan (menganggur). Apalagi sekiranya ia menyalahgunakan konsep tawakkal dengan berserah bulat-bulat kepada takdir Allah tanpa berusaha sedikitpun serta hanya meminta rezeki dengan mengharapkan pertolongan orang lain (meminta sedekah). Sebaliknya seorang Muslim itu hendaklah berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan jangan sekali-kali menjadi beban ke atas orang Islam yang lain.
4. Sesungguhnya amatlah rugi bagi seseorang yang kosong hidupnya (tidak bekerja) untuk dunia dan tidak juga beramal untuk akhirat.

Mudahkan Jangan Susahkan!


Hadith :
Abu Burdah r.a berkata :”Rasulullah mengutus ayah ku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:”Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, Gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Dalam berdakwah terdapat tatacara yang perlu diamalkan agar segala apa yang disampaikan menjadi ikutan. Antaranya ialah kita dilarag daripada menyukarkan manusia dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Contohanya ketika kita menjadi imam di dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada bersama kita terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit, tua dan sebagainya. Nabi juga menyuruh kita mengembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang kita sampaikan. Oleh itu kita hendaklah mendahulukan perkara-perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara yang berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat dari agama dan kebenaran. Sebalikanya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat dan tahap tertentu bukan bersifat drastik dan melulu.

Tipu Muslihat Dalam Peperangan


Hadith :
Jabir Ibnu Abdillah r.a berkata:” Nabi SAW bersabda:”Peperangan itu adalah tipu muslihat.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Peperangan itu adalah tipu daya atau menjalankan tipu daya untuk memperoleh kemenangan sekali gus mengalahkan lawan atau musuh. Nabi SAW menjuruskan penipuan itu seperti yang berlaku dalam peperangan Khandak bila mana baginda mengutuskan Nu’aim Ibn Mas’ud untuk menimbulkan kekacauan antara golongan Quraisy, Ghaffan dan golongan Yahudi. Dalam hal ini ulama’ sepakat mengatakan ia harus dilakukan asalkan tidak merosakkan janji atau jaminan yang sudah diberikan kerana tipu daya dalam perjanjian adalah haram hukumnya.

Perkara Yang Mula-mula Diadili


Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)”

(Muslim)



Huraian
Dosa biasanya dikaitkan dengan perintah atau larangan. ertinya, tidak melaksanakan apa yang diperintahkan adalah berdosa dan melakukan apa yang dilarang juga adalah berdosa. Itulah sebabnya mengapa jika tidak melakukan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya diklasifikasikan sebagai dosa sama seperti perbuatan berzina, berbohong atau membunuh diri dan membunuh orang lain juga adalah berdosa. Perbuatan membunuh contohnya amat dilarang keras oleh Islam kerana manusia itu dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi kebanyakan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah S.W.T: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa: 70) Orang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang haq dan sesiapa yang telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja hendaklah segera bertaubat kerana dosa pembunuhan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak kecuali mendapat keampunan daripada Allah kerana hukum Allah akan benar-benar berlaku, iaitu jika tidak mendapat keadilan (pembalasan) di dunia, azab yang menyiksa bakal menunggu di akhirat nanti.

Tujuh Golongan Insan Contoh


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah



Huraian
Pengajaran hadis:
i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :
a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
- Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah
- Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya
-Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Setiap Amalan Bergantung Dengan Niat



Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”.

Bukhari Muslim



Huraian
Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya samaada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.
Ulama’ kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.
Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.
Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan.