Bulan Safar Bawa Sial?

Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?”

al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad



Huraian
Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam. Di dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara Mandi Safar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya. Sebenarnya nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut ini dilarang keras oleh Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 51 yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) :“Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

Tiada ulasan: